KPKT Perkukuh Dasar Perumahan Negara, Perluas Penyediaan Rumah Mampu Milik, Selaras RMK-13

19 Jan 2026 • 1:15 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: KPKT Perkukuh Dasar Perumahan Negara, Perluas Penyediaan Rumah Mampu Milik, Selaras RMK-13
Foto oleh KPKT

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkukuh dasar perumahan negara dengan meluaskan penyediaan rumah mampu milik, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi memastikan rakyat menikmati kediaman yang berkualiti dan selamat pada kadar mampu milik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, berkata pencapaian ini merupakan manifestasi pelaksanaan dasar kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

“Pada petang ini, kita meraikan detik penyerahan kunci rumah kepada pembeli Ideal Venice Residency. Penyerahan kunci ini bukan sekadar simbol pemilikan, malah melambangkan jaminan keselamatan, kebanggaan, serta asas kepada masa depan yang lebih terjamin,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Mampu Milik, Ideal Venice Residency, di Gelugor, Pulau Pinang, hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember 2025, kerajaan telah meluluskan pembinaan sebanyak 511,544 unit rumah mampu milik, melepasi sasaran 500,000 unit yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Pencapaian ini menandakan rekod sejarah dalam pembangunan perumahan negara, apabila sasaran lima tahun dapat direalisasikan sepenuhnya dan melebihi jangkaan.

Beliau turut menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan moden seperti Industrialised Building System (IBS) bagi mempercepatkan pembinaan, mengurangkan kos, serta meminimumkan kesan kepada alam sekitar, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membina 1 juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

Image from: KPKT Perkukuh Dasar Perumahan Negara, Perluas Penyediaan Rumah Mampu Milik, Selaras RMK-13
Foto oleh KPKT

Ideal Venice Residency, merupakan projek perumahan berkeluasan 850 kaki persegi, dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi pada harga RM300,000.00 yang menampilkan reka bentuk seni bina Venice dengan kemudahan berkonsepkan gaya hidup, membuktikan bahawa rumah mampu milik tidak perlu berkompromi dari segi kualiti dan keselesaan.

Projek ini berjaya disiapkan melalui usaha sama PR1MA dan Ideal Property Group, yang menunjukkan komitmen tinggi serta standard antarabangsa dalam pembangunan perumahan mampu milik.

Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan untuk menoktahkan kesemua 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang telah dikenalpasti menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), setakat ini 33 daripada 34 projek sakit PR1MA telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli.

Turut hadir memeriahkan majlis penyerahan kunci tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow; Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman Bin Taib; Exco Perdagangan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Negeri Pulau Pinang, YB Jason Hng Mooi Lye; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, YB Ramkarpal Singh; ADUN Seri Delima, Connie Tan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), YBhg. Dato' Rajendran P. Anthony.