
KUALA LUMPUR - Agenda pembangunan negara yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu memfokus kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dari aspek pendidikan, perumahan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, sistem pendidikan baharu perlu diselaraskan dengan dasar pendidikan negara.
Titah baginda, Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa utama kerana ia merupakan bahasa kebangsaan.
“Sehubungan itu, sebarang cadangan untuk mengiktiraf mana-mana sistem pendidikan lain hendaklah menerima Bahasa Melayu serta sejarah Malaysia. Sekiranya terdapat pihak yang tidak dapat menerima Bahasa Melayu, adalah lebih baik mereka tidak menetap di Malaysia,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Parlimen hari ini.
Titah baginda itu dilihat ramai ketika pendidikan menjadi isu hangat, susulan kemungkinan untuk mengiktiraf pendidikan alternatif.
Seperti diketahui, pendidikan merupakan isu sensitif dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Parlimen dijadualkan bersidang selama 20 hari, dengan Ahli-ahli Parlimen akan membahaskan usul menjunjung kasih atas Titah Diraja bermula esok hingga 29 Januari, sebelum sesi jawapan oleh barisan menteri bermula pada 4 Februari.
Dalam titah sama, Seri Paduka memberi ingatan, pembentukan Malaysia adalah berasaskan Perjanjian Malaysia 1963, yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat, justeru asas perlembagaan tersebut perlu terus dihormati serta dipelihara.
Titah baginda, ancaman moden terhadap kestabilan negara, termasuk risiko keselamatan digital, integriti maklumat serta penyalahgunaan teknologi palsu, berpotensi membuka ruang kepada penipuan dan gangguan terhadap keharmonian masyarakat.
“Jenayah serius, keganasan serta sebarang perbuatan yang menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi Raja-Raja hendaklah ditangani secara tegas, berhemah dan berkesan,” titah baginda.
Sultan Ibrahim menerusi titah sama turut berkenan menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh kerangka perundangan dan institusi yang mengawal selia pilihan raya, institusi demokrasi serta pembiayaan politik negara.
“Ini termasuk usaha mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, serta penubuhan institusi ombudsman,” titah Seri Paduka.
Baginda bertitah, setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat oleh Ahli-Ahli Dewan akan menentukan hala tuju dan masa depan negara.
“Oleh itu, laksanakanlah amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, kejujuran dan tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat jelata,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berdoa demi kemajuan dan kemakmuran negara, serta memastikan Malaysia kekal aman, harmoni dan bersatu padu.
“Kita hendaklah kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda bertitah, semua penggubal undang-undang perlu amenjauhi penggunaan retorik berunsur hasutan yang boleh mencetuskan ketegangan, sebaliknya menyelesaikan perbezaan pandangan secara matang, beradab dan tanpa prasangka.
“Hak-hak negeri hendaklah sentiasa dihormati, namun kepentingan kolektif Malaysia mestilah diutamakan,” titah baginda. - Getaran, 19 Jamuari 2026


