KPKT saran bank beri pengurangan faedah pinjaman pembeli Residensi Hektar Gombak

13 Mar 2024 • 5:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPKT saran bank beri pengurangan faedah pinjaman pembeli Residensi Hektar Gombak

herman

13/03/2024 - 17:12

KUALA LUMPUR 13 Mac - Kerajaan akan membantu meringankan beban pembeli rumah Residensi Hektar Gombak yang terpaksa membayar faedah ansuran pinjaman projek sakit tersebut.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, surat pengesahan status projek Residensi Hektar Gombak akan dikeluarkan dengan menyarankan pihak bank pembiaya untuk memberikan pengurangan ataupun pengecualian kadar faedah dan penstrukturan semula pinjaman perumahan kepada pembeli.

"Selain itu, menangguhkan pinjaman perumahan ataupun penyelesaian penuh dengan pengecualian kadar faedah, permohonan dibantu melalui pengeluaran simpanan kali kedua daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Membatalkan pinjaman sedia ada dan juga diberi peluang kepada pinjaman-pinjaman baharu seperti mana pinjaman kali pertama ataupun pengecualian kadar faedah empat peratus, ini kalau terkait dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

image is not available
AIMAN ATHIRAH SABU

Aiman Athirah menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai usaha dan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban pembeli Residensi Hektar Gombak yang terpaksa membayar penuh ansuran pinjaman, malah dalam masa sama perlu membayar sewa rumah yang didiami.

Beliau berkata, KPKT sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pihak bank bertujuan memanjangkan perkara berkenaan bagi memastikan pembeli sentiasa dibantu untuk mengurangkan beban mereka yang terkesan.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek itu masih dikategorikan sakit kerana dua permasalahan iaitu pemaju asal projek perumahan itu belum mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak bank.

"Kedua, kriteria serta mekanisme Dana Jaminan Khas (berjumlah RM1 bilion menerusi Belanjawan 2024) masih dalam rundingan di peringkat Kementerian Kewangan.

"Namun, usaha berterusan dijalankan oleh KPKT termasuk dalam kes Residensi Hektar Gombak ini. Dalam setiap bulan kita mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan isu terbabit bagi membantu pembeli," jelasnya.

KPKT mengekalkan status projek perumahan Residensi Hektar Gombak di bawah kategori sakit dan akan terus membantu pemaju bagi mendapatkan bantuan pinjaman kewangan untuk menyiapkan projek itu.

Projek Residensi Hektar Gombak adalah pembangunan bercampur terdiri daripada lima blok bangunan pangsapuri 46 tingkat, melibatkan 2,400 unit rumah dan lokasi projek perumahan itu terletak di Jalan Gombak, Setapak.

Sebelum ini, media melaporkan pembeli projek Residensi Hektar Gombak melahirkan rasa kecewa apabila hasrat memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana projek rumah mampu milik itu masih terbengkalai.- DagangNews.com