
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) meminta agar semua elemen berkaitan kejadian yang menimpa seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah di Negeri Sembilan disiasat secara teliti bagi memastikan keadilan ditegakkan.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap maklumat disampaikan keluarga murid terbabit berhubung kejadian tersebut.
"Pada waktu ini, kes masih dalam siasatan pihak polis.
"Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham," kata kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang murid berusia 10 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolahnya di Senawang, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa. – 4 November, 2025
The post KPM arah siasatan menyeluruh kes murid Tahun Empat maut di tandas sekolah appeared first on Scoop.


