
ALOR GAJAH – Mangsa atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan seorang penceramah bebas berkelakuan tidak wajar ketika mengendalikan program bersama murid di sekolah diminta tampil membuat laporan polis.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, laporan daripada pihak terlibat amat penting bagi membolehkan tindakan lanjut diambil selain memastikan keselamatan murid terus terpelihara.
Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius perkara berkenaan dan tidak mahu isu terbabit terus berlaku dalam persekitaran sekolah.
“Ini sangat penting. Kalau kita tak ada laporan daripada pihak berkuasa dan juga dari segi tindakan-tindakan itu, akan menyukarkan kita dan kita tidak mahu perkara ini terus berlangsung dalam suasana sekolah.
“Kita mahu sekolah kita ni betul-betul selamat dalam aspek itu dan kita minta semua pihak sekolah, pentadbir untuk mengambil perkara ini secara serius,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada KPM di Alor Gajah, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina berkata, semua program melibatkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan penuh dilaksanakan.
Beliau berkata, tindakan itu susulan beberapa dakwaan yang tular di media sosial membabitkan individu berkenaan yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
Katanya, dakwaan terbabit disifatkan serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.
Sebelum ini, penyanyi rap dan personaliti media sosial, Caprice menggesa pihak berkaitan memberikan perhatian segera terhadap dakwaan kelakuan tidak wajar seorang ‘motivator’ yang dikatakan terlibat dalam program sekolah.
Menerusi hantaran di media sosial, Caprice turut berkongsi rakaman perbualannya dengan seorang individu yang menceritakan pengalaman serta maklumat berkaitan lelaki berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post KPM gesa mangsa gangguan penceramah bebas, tampil buat laporan appeared first on Kosmo Online.




