
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid berumur bawah 16 tahun dalam masa terdekat.
Menerusi satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan bahawa garis panduan berhubung pelaksanaan larangan tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara menyeluruh dan berkesan.
“KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini yang menggariskan langkah-langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan termasuk usaha meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.
KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial, selaras dengan usaha melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman serta pengaruh negatif di ruang siber.
Menurut kenyataan itu lagi, mekanisme pelaksanaan inisiatif berkenaan akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Semua institusi pendidikan di bawah KPM turut dituntut untuk memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan sekolah dapat dipertingkatkan.
“Kerjasama rentas kementerian dan agensi ini adalah cerminan usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuhkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” jelas kenyataan itu.


