KPM perketat SOP, tiada kompromi terhadap kes buli di sekolah

LocalPolitics
11 Aug 2025 • 7:03 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan beberapa langkah penting bagi memastikan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya terjamin, termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) keselamatan serta memperkukuh usaha menangani isu disiplin dan salah laku buli.

Menurut kenyataan KPM, SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.

Audit keselamatan turut akan dilaksanakan segera di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian, dengan fokus kepada pematuhan SOP berkaitan keselamatan. Hasil audit itu akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan.

Bagi memperkukuh saluran aduan, sistem sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan dengan ciri lebih mesra pengguna dan pilihan untuk membuat aduan secara anonim bagi melindungi identiti pengadu serta saksi.

KPM juga akan menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis serta wakil Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).

Dalam menangani isu buli, KPM menegaskan tiada kompromi terhadap pesalah dengan tindakan tegas termasuk hukuman gantung dan buang sekolah. Program intervensi Bangkit Bermaruah yang menekankan khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah turut diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.

Pentadbir, guru serta pegawai di peringkat pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang gagal menguruskan aduan buli mengikut garis panduan akan dikenakan tindakan. Selain itu, sokongan psikososial akan terus diperkukuh di semua peringkat bagi memastikan kesejahteraan murid, guru dan warga sekolah, dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling memainkan peranan utama dalam pencegahan serta intervensi.

KPM menyeru semua pihak bekerjasama secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat, sekali gus memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat pembelajaran yang kondusif dan bebas daripada ancaman buli.