
KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah padang lengkap sebagai kompleks sukan di setiap zon bagi memastikan murid di sekolah kawasan bandar yang padat penduduk tidak terpinggir dalam aktiviti sukan dan kokurikulum.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pendekatan itu perlu mengambil kira kekangan tanah khususnya di sekolah bandar yang berdepan keperluan menambah atau membina bangunan baharu.
Katanya, tidak semua sekolah mampu mempunyai padang sendiri seperti pada masa lalu berikutan kawasan tanah yang semakin terhad, terutama di lokasi berkepadatan penduduk tinggi.
“Dahulu kawasan mungkin banyak, tetapi jika di luar bandar mungkin tiada isu mengenai padang.
“Bagi sekolah di bandar atau kawasan padat penduduk, padang itu menjadi satu isu apabila ada keperluan kita tambah bangunan atau bina bangunan baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bas Kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini hari ini.
Mohd. Azam memberitahu, KPM melihat penyediaan sebuah padang lengkap di setiap zon sebagai antara strategi bagi memastikan murid daripada beberapa sekolah berdekatan dapat menggunakan kemudahan berkenaan secara bersama.
Katanya, ia sekali gus mampu membangunkan potensi pelajar dalam bidang sukan dan permainan.
“KPM turut merancang memperluaskan penyediaan dewan terbuka di sekolah yang tidak mempunyai padang atau berdepan kekangan ruang
“Kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum. Jika tiada padang, kita cuba usahakan di dalam dewan terbuka untuk aktiviti-aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post KPM rancang bina sebuah padang lengkap setiap zon appeared first on Kosmo Digital.






