KPM rancang kemas kini, kaji semula garis panduan bina sekolah baharu

6 Mar 2023 • 12:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available
Gambar fail/fotoBERNAMA

image is not available

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk mengemas kini dan mengkaji semula garis panduan pembinaan sekolah baharu bagi mempercepat pembinaannya, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata berdasarkan garis panduan sedia ada, pembinaan sesebuah sekolah boleh memakan masa antara lima hingga 10 tahun.

“Berkenaan garis panduan pembinaan (sekolah) dari segi infrastuktur dan selainnya, pada masa ini kami belum lagi memulakan kajian tetapi kami akan mengkaji semula, kita hendak singkatkan masa (pembinaan).

“...satu masalah yang kita mesti pastikan adalah penyerahan tanah, pemilikan tanah itu adalah satu unsur utama sebelum pembinaan sesebuah sekolah dan kami akan mengemas kini dan merujuk semula semua garis panduan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang bertanyakan sekiranya KPM mempunyai perancangan untuk mengkaji semula dan mengemas kini garis panduan pembinaan sekolah baharu.

Menjelas lanjut, Lim berkata KPM mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Seterusnya, beliau berkata KPM melaksanakan analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selain daripada kesediaan tapak atau tanah, perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya. - Bernama