KPM sedia beri kerjasama SPRM isu pakatan sulit tender BMB

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 6:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KPM sedia beri kerjasama SPRM isu pakatan sulit tender BMB

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya siasatan lanjut diperlukan berhubung dakwaan pakatan sulit dalam tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua Tahun 2026.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, ia bagi memastikan sebarang dakwaan ketidakaturan ditangani berdasarkan bukti dan melalui saluran yang sewajarnya demi memelihara integriti proses perolehan kerajaan.

Katanya, KPM mengambil maklum perkara dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berhubung keputusan tender BMB Fasa 2 Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.

“Bagi Tender BMB Fasa 2 Tahun 2026, sebanyak 245 tender telah diiklankan melibatkan 62,641 petender.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 242 tender telah diberikan kepada syarikat yang berjaya, manakala dua tender dibatalkan bagi tujuan kerja menaik taraf blok asrama dan satu tender ditangguhkan berikutan perubahan tarikh kuat kuasa kontrak,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, KPM sentiasa komited memastikan setiap perolehan kerajaan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berlandaskan tatacara perolehan semasa yang sedang berkuat kuasa.

Mengulas mengenai m isu jurang nilai kontrak yang dibangkitkan, katanya, penetapan anggaran harga bagi setiap kontrak BMB adalah berbeza mengikut jumlah murid serta kategori sekolah dan institusi.

“Kontrak yang merekodkan nilai tertinggi, iaitu mencecah RM38.7 juta, melibatkan sekolah sukan yang memerlukan penyediaan menu bernutrisi tinggi dan seimbang yang diluluskan oleh kerajaan bagi menyokong keperluan pemakanan bakal atlet negara berprestasi tinggi.

“Kos sajian harian di sekolah sukan berkenaan dianggarkan antara RM90.84 hingga RM92.93 bagi seorang murid sehari.

“Manakala kontrak bernilai lebih rendah melibatkan sekolah rendah atau menengah biasa dengan anggaran harga antara RM26.10 hingga RM31.65 bagi seorang murid sehari,” katanya.

Justeru, jelasnya, perbezaan nilai kontrak tersebut perlu dilihat berdasarkan keperluan dan spesifikasi perkhidmatan setiap institusi, termasuk jumlah murid serta keperluan pemakanan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post KPM sedia beri kerjasama SPRM isu pakatan sulit tender BMB appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved