Pasukan Proton Neutron Electron juarai PBCSC 2026, bawa pulang RM10,000

LocalCars
27 Oct 2026 • 2:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasukan Proton Neutron Electron juarai PBCSC 2026, bawa pulang RM10,000

KUALA LUMPUR: Pasukan Proton Neutron Electron dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) muncul juara Proton Business Case Study Challenge (PBCSC) 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Pertandingan anjuran Proton dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mencatat penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan, membabitkan 56 pasukan daripada universiti awam dan swasta di seluruh negara, meningkat 33 peratus berbanding tahun lalu.

Sebanyak 18 pasukan berjaya mara ke peringkat akhir selepas membentangkan idea serta penyelesaian masing-masing kepada panel penilai yang terdiri daripada kepimpinan kanan Proton termasuk wakil bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Pro-Net serta Modal Insan dan Pentadbiran.

PBCSC 2026 memberi tumpuan kepada usaha merangka strategi untuk menjadikan kenderaan elektrik (EV) sebagai pilihan kenderaan pertama dalam kalangan Generasi Z, selaras dengan perkembangan industri automotif dan perubahan keperluan pengguna muda.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Proton, Dr. Kasuma Satria, berkata pembangunan bakat muda penting bagi memastikan industri automotif Malaysia terus berkembang dan kekal berdaya saing.

“Masa depan industri automotif Malaysia bergantung kepada bakat yang kita bangunkan hari ini. Melalui PBCSC, kami mahu golongan muda berani mencetuskan idea baharu dan menyedari potensi sumbangan mereka kepada industri.

“Cabaran ini memberi peluang kepada pelajar menangani isu perniagaan sebenar sambil membina keyakinan untuk mempertahankan idea mereka. Kami berharap pengalaman ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk melihat masa depan dalam industri automotif,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Team Malaya Tigerz dari Universiti Malaya (UM) yang menerima RM8,000, manakala Team Emas 3 dari Monash University Malaysia menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM5,000.

Sementara itu, Topaz Lim Jing Tai dari APU meraih Anugerah Penyampai Individu Terbaik PBCSC dan membawa pulang RM1,000.

Beliau berkata, golongan muda memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan industri, sama ada melalui kemahiran teknikal mahupun idea perniagaan.

“Sokongan KPT sebagai rakan strategik PBCSC dijangka membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk berkembang, sekali gus memperkukuh pembangunan Proton dan industri automotif Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Panel penilai pada peringkat akhir turut disertai wakil KPT dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), bagi memastikan penilaian mengambil kira perspektif industri serta keperluan pembangunan bakat.

Buat julung kalinya, pertandingan tahun ini turut memperkenalkan Anugerah Influencer PBCSC bagi mengiktiraf individu yang mempamerkan kreativiti, pengaruh digital dan penglibatan aktif dalam mempromosikan pertandingan berkenaan kepada khalayak lebih luas.

Tiga pemenang menerima hadiah masing-masing pada acara Pusingan Akhir (Grand Final).

PBCSC menjadi platform kepada pelajar universiti untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam menangani cabaran perniagaan sebenar, di samping membangunkan penyelesaian praktikal yang boleh dipertimbangkan oleh industri.

Setiap pasukan terdiri daripada tiga pelajar tahun akhir, termasuk seorang ketua pasukan, manakala setiap universiti dibenarkan menghantar sehingga dua pasukan. – UTUSAN

The post Pasukan Proton Neutron Electron juarai PBCSC 2026, bawa pulang RM10,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved