KPM siasat dakwaan soalan SPM bocor

LocalPolitics
25 Nov 2025 • 11:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan soalan-soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor dan ditawarkan untuk dijual di media sosial.

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, meskipun tiada laporan dibuat namun kementerian mendapat maklumat awal menerusi media sosial.

“Setakat ini, saya belum menerima laporan rasmi (dakwaan kertas soalan bocor), tetapi kita sudah mendapat maklumat awal melalui media sosial. Buat masa sekarang kita percaya soalan-soalan SPM masih lagi terkawal dengan baik.

“Jadi, perkara itu kini dalam tindakan Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP). Saya pasti mereka mempunyai prosedur serta kedudukan yang jelas untuk menangani isu-isu sebegini,” katanya, lapor media hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media selepas meninjau peperiksaan SPM 2025, di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, terdapat dakwaan mengenai soalan-soalan SPM 2025 bagi semua subjek yang ditawarkan untuk dijual menerusi media sosial.

Tangkap layar menunjukkan soalan yang didakwa bocor itu dijamin sama seperti soalan bertulis SPM dan turut menjaminkan gred A.

Dalam pada itu, Azam memberitahu, peperiksaan SPM bermula dengan lancar seperti dijadualkan di seluruh negara termasuk di kawasan yang dilanda banjir.

Beliau memberitahu, setakat semalam, seramai 259 calon dikenal pasti terkesan bencana banjir namun langkah kontingensi yang dilaksanakan lebih awal membolehkan mereka menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

“Alhamdulillah, SPM kali ini dapat dimulakan mengikut jadual asal iaitu pada bulan November dan Disember. Sebelum ini, SPM diadakan pada bulan Februari. Kita sedar apabila SPM kembali ke jadual asal, cabaran musim tengkujuh dan banjir perlu dihadapi.

Secara keseluruhannya, seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025, meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah menengah agama rakyat, serta calon persendirian.

Menyentuh mengenai pelan kontingensi itu, beliau berkata KPM melalui Lembaga Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah melaksanakan pelan itu termasuk mesyuarat penyelarasan melalui Op Payung bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, bomba, dan beberapa agensi lain.

“Kita juga telah menjalankan simulasi banjir di Kuala Terengganu, Terengganu pada September lepas untuk melihat cabaran sebenar musim tengkujuh,” katanya.

Mohd Azam berkata KPM turut berhubung rapat dengan METMalaysia setiap hari bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini untuk tindakan segera di peringkat negeri dan daerah.

Katanya, antara langkah awal ialah mengenal pasti calon yang kediamannya berisiko terputus laluan akibat banjir, dengan sebahagian daripada mereka dipindahkan lebih awal ke asrama berhampiran pusat peperiksaan.

“Kita juga telah menyediakan pusat alternatif. Jika dewan peperiksaan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bilik darjah akan digunakan sebagai ruang peperiksaan. Semua ini telah disusun rapi sejak awal,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan pusat peperiksaan yang berisiko banjir hanya melibatkan dua hingga empat calon, menjadikan pengurusan pemindahan lebih terkawal dan cepat. - 25 November, 2025

The post KPM siasat dakwaan soalan SPM bocor appeared first on Scoop.