KPM siasat pematuhan SOP insiden mangsa lemas di Pantai Balok

LocalPolitics
18 Apr 2026 • 7:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPM siasat pematuhan SOP insiden mangsa lemas di Pantai Balok
Fadhlina menerusi kenyataan media KPM mengenai SOP insiden mangsa lemas di Pantai Balok.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan dalaman susulan insiden menyayat hati yang mengorbankan seorang murid di Pantai Balok, Pahang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan tersebut dijalankan bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti atau penglibatan murid berkenaan.

“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa. KPM juga sedang menjalankan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap SOP yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Media melaporkan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan kejadian seorang murid hilang ketika sedang beriadah bersama rakan-rakannya di Pantai Balok Pahang pada petang Jumaat.

Pihak JPN turut mengesan terdapat sekumpulan murid yang keluar dari asrama tanpa pengetahuan pihak sekolah bagi menjalankan aktiviti riadah tersebut yang bukan merupakan sebahagian daripada program rasmi anjuran sekolah.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, keutamaan KPM pada ketika ini adalah untuk memastikan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, KPM turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kehilangan tersebut.

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kesabaran dalam menghadapi ujian berat ini,” ujarnya.