IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 12 inisiatif utama sempena Hari Guru yang memberi tumpuan kepada kebajikan serta pembangunan profesional warga pendidik, termasuk pemansuhan sistem perekodan kokurikulum secara manual bagi mengurangkan beban tugas guru.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah memansuhkan perekodan manual itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM memperkasa profesion keguruan dan meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.
Menurut beliau, sekolah juga diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan sebelum maklumat kokurikulum murid dimasukkan ke dalam Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
**media[3522505]**
“Selain itu, saya juga telah mengarahkan supaya sistem PAJSK disepadukan dengan Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) bagi memastikan urusan lebih sistematik dan efisien.
“Hapus satu sistem, bermakna guru boleh fokus kepada kelas dan murid,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Sabtu.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, antara inisiatif diumumkan ialah pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 dan Tahap 2 diteruskan secara percuma kepada semua guru bagi memperkukuh literasi digital.
**media[3522506]**
Menurutnya, Malaysia kini diiktiraf sebagai negara nombor satu dunia bagi jumlah pendidik bertauliah Google dengan 60,000 pemegang sijil Tahap 1 dan 33,000 pemegang sijil Tahap 2.
“Kos bagi setiap guru ialah RM40 untuk Tahap 1 dan RM100 untuk Tahap 2, dan ini ditanggung sepenuhnya bagi memastikan guru terus kompeten dalam teknologi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KPM memperkenalkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) khas kepada guru di kawasan pedalaman termasuk sekolah rintangan di bawah Program Khas seperti sekolah dalam hospital, sekolah terapung dan sekolah pedalaman di kawasan P1, P2 serta P3.
Selain itu, Biasiswa Perguruan Persekutuan turut diperluas kepada pemimpin sekolah seperti guru besar, pengetua dan penolong kanan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
Bagi memperkasa pembelajaran digital, KPM memperkenalkan Projek Network Offline Digital Environment (NODE) yang membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan tanpa capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman.
Sebanyak RM1 juta diperuntukkan menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn bagi memperkukuh pelaksanaan projek berkenaan.
Pada masa sama, kerajaan turut memperuntukkan RM169 juta untuk membekalkan peranti kepada semua sekolah sebagai persediaan pelaksanaan kurikulum baharu pada 2027.
Dari sudut kebajikan guru, tambahan RM100 juta disediakan bagi penyelenggaraan bilik guru menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta termasuk penyediaan kemudahan seperti penghawa dingin dan peralatan sokongan.
“Kita mahu kesejahteraan guru benar-benar dimaknakan dalam persekitaran kerja yang selesa dan kondusif,” katanya.
Selain itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan kuarters guru bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan tempat tinggal terus terjamin.
Dalam usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak, KPM turut melaksanakan Program PAKAT di peringkat prasekolah bagi memupuk budaya membaca melalui kerjasama antara guru dan ibu bapa.
Sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan bahan bacaan tambahan untuk 10,515 kelas prasekolah di seluruh negara.
Tambah beliau, peruntukan RM122.4 juta turut disalurkan terus ke sekolah bagi pelaksanaan program STEM dan TVET bagi memberi peluang kepada guru melaksanakan aktiviti secara praktikal di sekolah.
Sebagai penghargaan kepada warga pendidik, Yayasan Guru Tun Hussein Onn turut menyediakan sumbangan RM1,000 kepada guru yang anak mereka memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Dalam menghadapi cabaran kos sara hidup pula, KPM mengumumkan potongan 50 peratus sewaan kantin sekolah bagi tempoh enam bulan pertama untuk membantu pengusaha mengekalkan harga makanan yang berpatutan dan berkualiti.
Sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan ‘Guru Bitara Nadi Negara’ yang menekankan peranan guru sebagai tonggak utama dalam melahirkan modal insan berkualiti demi kestabilan sosial dan pembangunan ekonomi negara.
