IPOH - Guru pada masa kini perlu memiliki tahap kesabaran yang tinggi dalam mendidik pelajar selari dengan cabaran pendidikan yang semakin kompleks.
Itu antara pesanan ikhlas penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2026, Abdul Rashid Bakar, 64, buat warga pendidik, khususnya golongan guru muda yang berhadapan dengan cabaran dunia pendidikan moden.
Bekas guru Kimia dari Melaka High School atau kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka itu berkata, kerjaya sebagai guru memerlukan kekuatan jiwa yang besar kerana tugas utama mereka adalah membentuk insan, bukan sekadar menghabiskan silabus pembelajaran.
"Cabaran sekarang saya tahu memang berbeza berbanding zaman 80-an atau 90-an. Jadi guru sekarang kena banyak bersabar. Dia tak boleh setakat mengajar sahaja.
"Kita kena sentuh hati murid. Sentuhan hati guru kepada murid sebenarnya boleh membuka minda dan kesanggupan mereka untuk belajar," katanya ketika ditemui pemberita sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Sabtu.
Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
**media[3522613]**
Dalam majlis itu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), selain Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Dr Ahmad Rafee Che Kassim.
Mengulas mengenai penganugerahan diterima, anak jati Alor Setar, Kedah itu mengakui terkejut dan tidak menyangka akan dipilih sebagai Tokoh Guru lebih-lebih lagi selepas lapan tahun melalui tempoh persaraan.
Jelasnya, sepanjang 34 tahun berkhidmat, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah, sebaliknya hanya fokus kepada tanggungjawab di dalam bilik darjah.
"Kebiasaannya anugerah begini diberikan kepada pihak kepimpinan (pentadbir), sedangkan saya hanyalah guru biasa di bilik darjah.
"Saya sangat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM). Saya anggap anugerah ini mewakili semua guru yang masih mengajar di bilik darjah," katanya yang bersara wajib pada 1 Jun 2018.
Sebagai antara kumpulan terawal menerima penjawatan Guru Cemerlang, Abdul Rashid menyambut baik usaha KPM mengurangkan tugas pengkeranian guru agar warga pendidik dapat kembali fokus kepada tugas hakiki mereka.
"Apabila beban kerja sampingan dikurangkan, guru-guru boleh tumpu sepenuhnya kepada kerja-kerja asas sebagai guru di dalam bilik darjah," katanya.






