
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap pertambahan peruntukan dalam Belanjawan 2027 bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf serta baik pulih kemudahan di institusi pengajian tinggi (IPT) dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, keperluan naik taraf itu melibatkan universiti, politeknik dan kolej komuniti, selain mengambil kira aspek kebajikan pelajar.
Katanya, terdapat kemudahan di institusi berkenaan yang sudah lama dan memerlukan kerja-kerja baik pulih.
“Untuk KPT, tentunya kita mengharapkan ada pertambahan belanjawan kerana belanjawan seperti yang kita ketahui berkaitan dengan pembangunan dan juga pengurusan.
“Kita harapkan juga akan ada beberapa peruntukan berkaitan pembangunan. Sebagai contoh, kita perlu melihat aspek kebajikan pelajar dari segi keadaan tempat di universiti, politeknik dan kolej komuniti yang memerlukan langkah-langkah baik pulih, ada yang sudah begitu lama.
“Termasuk juga dalam soal menyediakan tempat-tempat penginapan kepada pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di ibu negara, hari ini.
Zambry berkata, perkara berkenaan merupakan antara keperluan yang sedang diberi perhatian KPT dan kerajaan juga memahami keadaan tersebut.
“Ini merupakan antara perkara yang menjadi perhatian kepada kita semua dan kerajaan memahami perkara tersebut.
“Sebab itulah langkah-langkah ke hadapan telah pun kita (kementerian) susun,” katanya.
Belanjawan 2027 dijangka dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober ini.
Anwar memaklumkan, Belanjawan 2027 akan terus berpandukan prinsip pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada pemerkasaan kehidupan rakyat dan bukan setakat diukur berdasarkan petunjuk ekonomi yang kukuh. – UTUSAN
The post KPT harap Belanjawan 2027 tumpu naik taraf kemudahan IPT appeared first on Utusan Malaysia.





