KPT libat mahasiswa, ahli akademik gubal akta baharu ganti AUKU

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 4:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPT libat mahasiswa, ahli akademik gubal akta baharu ganti AUKU

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan mahasiswa, ahli akademik dan pentadbir universiti dalam usaha menggubal akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beberapa siri perbincangan sudah dimulakan bagi memastikan tiada kumpulan yang tersisih daripada proses tersebut.

“Kami sedang mengusahakannya sekarang. Malah, saya sudah memulakan perbincangan dengan semua kumpulan kerana saya tidak mahu mana-mana pihak tertinggal apabila kita mahu mewujudkan sebuah akta baharu bagi menggantikan AUKU.

“Saya sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan daripada kalangan ahli akademik dan pentadbir.

“Dalam beberapa hari lagi, saya akan bertemu dengan kumpulan-kumpulan lain termasuk kumpulan mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Zambry berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan meminta wakil mahasiswa daripada semua universiti mengadakan perbincangan dalam kalangan mereka.

Katanya, proses libat urus itu akan merangkumi kumpulan yang bersetuju serta tidak bersetuju supaya semua pandangan dapat digabungkan dan diteliti.

“Saya sudah bertemu dengan Majlis Perwakilan Pelajar dan meminta mereka yang mewakili semua universiti mengadakan perbincangan dalam kalangan mereka.

“Ini termasuk kumpulan yang bersetuju atau tidak bersetuju. Kita mahu menggabungkan dan meneliti semua pandangan,” katanya.

Menurut beliau, KPT berhasrat menghasilkan sebuah akta komprehensif yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi turut mengambil kira kepentingan negara pada masa hadapan.

Katanya, kerajaan perlu menjangkakan perubahan yang mungkin berlaku dari segi kedudukan dan perundangan semasa sebelum akta berkenaan dimuktamadkan.

“Kita mahu mewujudkan sebuah akta yang komprehensif serta mengambil kira semua pandangan kerana akta baharu ini bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga untuk masa hadapan negara.

“Apabila kita merancang, kita perlu turut merancang untuk masa hadapan. Kita perlu menjangkakan apa yang akan berlaku dari segi kedudukan dan perundangan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, AUKU sudah berusia 54 tahun dan perubahan terhadap undang-undang berkenaan perlu dilaksanakan.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan pendirian untuk menggantikan AUKU dengan sebuah akta baharu yang lebih komprehensif.

“Presiden UMNO dalam ucapannya semalam turut menyatakan, ‘no more AUKU’. Kita akan mewujudkan sebuah akta baharu yang komprehensif.

“AUKU merangkumi semua aspek termasuk penubuhan universiti dan urus tadbir, selain perkara yang berkaitan dengan mahasiswa,” katanya. – UTUSAN

The post KPT libat mahasiswa, ahli akademik gubal akta baharu ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved