Usaha ganti AUKU bukti ‘politik prestasi’ UMNO

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 10:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Usaha ganti AUKU bukti ‘politik prestasi’ UMNO

KUALA LUMPUR: Usaha merangka Akta Pendidikan Tinggi Tunggal atau One Higher Education Act bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) membuktikan prestasi menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, usaha tersebut diterajui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, peranan Zambry dalam menangani isu AUKU perlu diiktiraf dan disebarluaskan, meskipun terdapat pihak lain yang mengaku sebagai ‘hero’ atau juara dalam perkara berkenaan.

“Sebagai bekas pendidik, isu berkaitan AUKU menarik perhatian saya. Individu yang menjadi ‘hero’ dalam soal AUKU ini tidak lain dan tidak bukan ialah Datuk Seri Dr. Zambry.

“Walaupun terdapat pihak yang mengakui mereka sebagai ‘hero’ atau juara dalam soal ini, kita perlu mengetahui dan menyebarluaskan bahawa beliaulah yang mengetuai usaha merangka undang-undang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Razif berkata, Zambry turut menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji implikasi pemansuhan akta tersebut.

“AUKU bukan sekadar melibatkan mahasiswa, tetapi merupakan akta induk kepada penubuhan dan tadbir urus sebahagian besar universiti awam di Malaysia.

“Usaha tersebut sebagai contoh politik prestasi yang ditunjukkan menteri UMNO. Menteri dan timbalan menteri daripada UMNO perlu diberikan pengiktirafan atas prestasi mereka dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemansuhan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka.

Menurut Anwar, meskipun beberapa pindaan telah dibuat bagi memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa, masih terdapat mahasiswa yang tidak berpuas hati dan mengemukakan memorandum supaya akta berkenaan dimansuhkan.

AUKU mula berkuat kuasa pada 30 April 1971 bertujuan membuat peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti serta kolej universiti di Malaysia, selain perkara lain yang berkaitan dengan institusi berkenaan.

Sepanjang tempoh pelaksanaannya, AUKU melalui beberapa siri pindaan termasuk pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009 dan 2012.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menjelaskan bahawa AUKU menjadi antara punca kuasa utama berkaitan penubuhan, penutupan dan pentadbiran institusi pendidikan tinggi serta hubungan institusi dengan kementerian. – UTUSAN

The post Usaha ganti AUKU bukti ‘politik prestasi’ UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved