
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia yang kini sedang melanjutkan pengajian di Asia Barat susulan perkembangan konflik yang berlaku di rantau berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar Negeri bagi memastikan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya keadaan memerlukan.
Beliau berkata, setakat ini KPT belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai keadaan pelajar Malaysia di rantau itu yang terjejas akibat krisis berkenaan.
“Kita juga mengambil maklum kerana di peringkat KPT, sumber rujukan kita ialah Kementerian Luar Negeri. Apa pun, kita akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar Negeri bagi memastikan perjalanan pelajar-pelajar kita dan keadaan mereka yang sedang belajar di sana.
“Kita perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk memastikan keberadaan rakyat Malaysia, khususnya pelajar yang belajar di negara-negara Timur Tengah ini sentiasa dikawal dan dipastikan keselamatan mereka,” katanya selepas menghadiri Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026, di sini hari ini.
Program itu menghimpunkan seramai 456 pelajar tempatan yang bakal melanjutkan pengajian ke Mesir, Maghribi dan Jordan.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Dr Zambry berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar mendapatkan taklimat, panduan serta berinteraksi secara langsung sebelum berangkat melanjutkan pengajian ke luar negara.
Katanya, KPT turut memastikan peranan Education Malaysia di negara berkenaan terus diperkasakan bagi menjaga kebajikan pelajar Malaysia termasuk membantu menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi. – UTUSAN
The post KPT terus pantau keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.






