Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Bila kali terakhir korang betul-betul peluk mak, ayah, pasangan atau anak-anak dekat rumah? Kita sering kali terlalu sibuk dengan urusan kerja sampai terlupa sentuhan kecil sebenarnya boleh beri impak besar pada emosi keluarga.
Sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengajak orang ramai mengamalkan rutin mudah iaitu “10 Saat Pelukan Keluarga”.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkaata, amalan yang diperkenalkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menyemai dan menzahirkan kasih sayang dalam kehidupan seharian bersama keluarga.
“Kasih sayang perlu diterjemahkan dalam cara kita berbicara, meluangkan masa yang berkualiti dan menyelesaikan perselisihan.
“Hubungan yang dipelihara setiap hari membina keyakinan ahli keluarga untuk menghadapi cabaran di luar rumah.”
Meriah Dengan Kehadiran 10,000 Pengunjung & Pelbagai Aktiviti Menarik
Sambutan kali ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat apabila kehadiran lebih 10,000 pengunjung untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Datuk Dr Wan Ismail itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan.

Berkongsi keterujaannya melihat sambutan orang ramai, Nancy berkata program berkenaan menjadi wadah penting untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat.
“Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 merupakan wadah penting yang mendekatkan perkhidmatan Kerajaan dengan masyarakat.”
Sokongan Menyeluruh Termasuk Bantuan Kebajikan Dan Budaya Kerja Prihatin
Menurut Nancy, bagi memastikan institusi keluarga terus terbela, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.355 bilion kepada KPWKM menerusi Belanjawan 2027, dengan hampir RM3.3 bilion daripadanya disalurkan khusus untuk bantuan kebajikan masyarakat.
Beliau berkata, usaha itu turut disokong oleh program kesihatan reproduktif seperti Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) kendalian LPPKN yang menyasarkan bantuan kepada 2,000 pasangan yang layak.
Di samping itu, pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Tempat Kerja Mesra Keluarga turut diberikan kepada majikan prihatin seperti PETRONAS dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi mendorong ekosistem kerja yang seimbang antara kerjaya dan tanggungjawab kekeluargaan.
“Aktiviti kekeluargaan ini akan terus diperluaskan ke peringkat negeri sepanjang bulan November bagi memastikan mesej kasih sayang sampai kepada segenap lapisan rakyat.”
Apa kata korang mula amalkan sebelum keluar rumah atau sebelum tidur? Tak perlu tunggu hari istimewa untuk peluk orang tersayang kerana kadangkala, 10 saat pun cukup untuk membuatkan seseorang rasa dihargai.
Sumber: Siaran Media Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





