
KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan mana-mana pihak terutama syarikat swasta, untuk menubuhkan pusat jagaan warga emas di negara ini, bagi memberi pilhan kepada keluarga berkemampuan menghantar ibu bapa mereka di pusat tersebut.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata langkah berkenaan dilihat bersesuaian, kerana pusat jagaan itu menawarkan perkhidmatan penjagaan berkualiti dan terbaik, kepada golongan berkenaan.
“Sebenarnya ada pusat jagaan warga emas ini bukan sahaja untuk golongan itu, malah untuk orang kelainan upaya (OKU) juga, mereka juga memerlukan penjagaan rapi sebab itu kita galakkan lebih banyak pusat jagaan swasta dibuka, untuk memberi pilihan kepada orang ramai.
“Anak-anak yang bekerja dan berkemampuan, mereka mahu hantar ibu bapa atau ahli keluarga ke pusat jagaan ketika (mereka) bekerja, kerana yakin penjagaan rapi yang baik di situ dan sebenarnya ini lah care ekonomi yang bagus kita harap ia diperluaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja di Pusat Jagaan Damai Permai, di sini hari ini dan terdapat seramai 54 penghuni di pusat jagaan perkhidmatan berbayar milik persendirian itu.
Nancy berkata ketika ini terdapat sebanyak 393 pusat penjagaan warga emas di seluruh negara, yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Namun beliau berkata jumlah itu dianggap masih rendah, memandangkan ramai yang memerlukan dan mahu menggunakan perkhidmatan itu ketika ini.
“Kalau pusat jagaan warga emas bawah kerajaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang ada dah, ia sudah wujud lama di bawah kita, namun bagi anak-anak yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik, akan memilih untuk menghantar ibu bapa mereka ke institusi penjagaan swasta.
“Malah ada yang hantar (ibu bapa) secara harian di pusat jagaan swasta itu macam di Pusat Jagaan Damai Permai, ada penghuni yang tinggal di Kedah dan anaknya bekerja di Pulau Pinang, mereka bawa (ibu bapa) ke sini untuk penjagaan rapi setiap hari,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji usaha pengurusan pusat jagaan tersebut, yang menyediakan perkhidmatan penjagaan bulanan dan harian, khusus buat warga emas dan golongan memerlukan termasuk OKU.
“Berdasarkan pemantauan, saya rasa pusat ini antara yang terbaik dari segi kebersihan dan persekitaran selamat buat warga emas, kita harap ia dapat dijadikan modul bagi mana-mana pihak yang berminat, untuk mewujudkan lebih banyak lagi pusat jagaan seperti ini,” katanya.
Nancy hari ini turut mengadakan lawatan Program Ziarah Kasih JKM dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Pokok Machang, dekat sini sebelum merasmikan Anjung Kasih di Hospital Seberang Jaya, dekat sini. -Bernama



