
Seorang wanita warga emas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Madinah selepas jatuh sakit ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci pada 9 Mei lalu.
Lantaran itu, tiga beradik buntu memikirkan masalah kewangan yang diperlukan untuk membawa pulang ibu mereka, Hasmah Hamid yang menerima rawatan lanjut di hospital sana.
“Ibu menghidap jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa ditidurkan, manakala ahli rombongan umrah lain telah kembali ke tanah air.
“Sepanjang rawatan setakat 6 Julai lalu, bil yang dikenakan mencecah 212,000 Riyal (RM263,679) iaitu 5,000 Riyal (RM6,218) sehari,” kata anak kedua, Zuraini Sapi’n.

Dana masih tak mencukupi
Menurutnya lagi, Hasmah sudah dibenarkan pulang selepas 40 hari ditidurkan, namun mereka tidak mampu untuk membayar sebahagian besar kos rawatan ibu mereka.
Katanya setakat ini, 100,000 Riyal (RM124,492) telah dibayar menggunakan skim perlindungan insurans, namun baki 112,000 Riyal (RM139,431) lagi masih belum dilunaskan.
Malah, mereka sekeluarga turut mengambil beberapa ikhtiar bagi mengumpul wang yang mencukupi untuk membayar bil rawatan tersebut.
Katanya, selain menularkan di media sosial, mereka juga telah mengemukakan permohonan bagi memohon bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan ia masih dalam proses.
Bimbang ibu kembali jatuh sakit
Zuraini memaklumkan bahawa ibu mereka semakin murung kerana tinggal bersendirian di dalam wad hospital swasta tersebut sejak dua bulan lalu.
“Kami bimbang ibu kembali jatuh sakit jika semakin lama berada di hospital swasta di Madinah,” ujarnya.
Sehubungan itu, mereka berharap agar pihak berkuasa membantu mereka untuk menguruskan kepulangan ibu tersayang ke tanah air.
Sumber: Kosmo!
Baca: “Anak syurga terpilih” – Tunai Umrah Bersama Keluarga, Kanak-kanak 4 Tahun Meninggal Di Madinah

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



