Kraf Malaysia semakin hilang pewaris

12 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kraf Malaysia semakin hilang pewaris

MALAYSIA mungkin masih mempunyai songket, batik, kelingkan dan pelbagai seni kraf tradisional, namun persoalan lebih besar ialah siapa yang akan terus menghasilkan warisan itu apabila tangan pewaris semakin berkurangan.

Warisan tidak akan hidup hanya kerana disimpan di muzium, direkod dalam buku atau dipamerkan di festival.

Ia hanya benar-benar hidup apabila masih ada manusia yang menguasai kemahiran, mengamalkannya dan bersedia mewariskan ilmu itu kepada generasi seterusnya.

Masalahnya, generasi muda hari ini mempunyai terlalu banyak pilihan kerjaya yang menawarkan pulangan lebih cepat, termasuk pekerjaan dalam talian, ekonomi gig dan penciptaan kandungan.

Presiden dan Pengasas Malaysian Craft Council (MCC), Nik Faiz Nik Amin berkata, keadaan itu menyebabkan jumlah pewaris muda dalam bidang kraf tradisional semakin berkurangan, malah ramai adiguru yang sebelum ini menjadi tempat rujukan kini sudah meninggal dunia.

Katanya, antara kraf yang berdepan kekurangan pewaris ialah tekstil tradisional, songket, kelingkan dan batik, manakala keadaan menjadi lebih kritikal apabila sesuatu kemahiran hanya dikuasai seorang atau segelintir individu.

Katanya, kelingkan Kelantan misalnya pernah hanya mempunyai seorang pembuat sekitar 2020, sebelum inisiatif yang dijalankan berjaya meningkatkan jumlah penerus kepada kira-kira 40 orang.

“Perubahan gaya hidup generasi muda menjadi antara faktor utama apabila aktiviti membuat kraf secara sambilan yang suatu ketika dahulu menjadi ruang latihan semakin kurang mendapat sambutan.

“Orang muda terutamanya tak minat, lebih suka untuk bekerja secara dalam talian, buat freelance (kerja bebas) dan mencari duit sebagai content creator (pencipta kandungan),” katanya kepada Kosmo!.

Lebih daripada sekadar soal kerjaya, kraf juga berdepan perubahan cara generasi baharu memberi perhatian.

Nik Faiz berpandangan penggunaan gajet dan teknologi yang terlalu dominan menjadikan kehidupan semakin pantas.

Namun, penulis merasakan untuk menyalahkan generasi muda juga bukan jawapannya.

Kraf perlu berubah mengikut zaman supaya tidak dilihat sebagai sesuatu yang lapuk, tanpa mengorbankan teknik, nilai dan identiti yang menjadikannya warisan.

Sebagai contoh, kraf batik sering disalah anggap sebagai motif, sedangkan batik sebenarnya teknik penghasilan menggunakan bahan resist atau penghalang warna.

Kekeliruan itu akhirnya menjejaskan pengusaha apabila produk bercetak digital dijual seperti mempunyai nilai sama dengan batik buatan tangan.

Dalam jangka panjang, keadaan itu boleh melemahkan nilai kemahiran tukang yang bergantung kepada hasil kerja tangan.

MCC kini menjalankan usaha melahirkan pelapis melalui platform latihan membabitkan songket, kelingkan dan batik Kelantan, selain mengangkat warisan budaya tidak ketara.

Justeru, cabaran sebenar industri kraf bukan sekadar memastikan produk terus berada di pasaran, tetapi memastikan masih ada tangan yang mampu menghasilkannya.

Jika pewaris tidak dilahirkan, Malaysia mungkin hanya mampu menceritakan tentang kraf warisan, tanpa lagi mempunyai insan yang benar-benar tahu cara membuatnya. -KOSMO! ONLINE

The post Kraf Malaysia semakin hilang pewaris appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved