Pada jam sekitar 8.07 pagi tadi waktu Malaysia, kapsul angkasa lepas Integrity misi Artemis II telah selamat kembali ke bumi 10 hari selepas dilancarkan daripada Cape Canaveral, Amerika Syarikat. Misi ini berjaya menjadi yang pertama sejak 1972 manusia melawat semula bulan serta mencatatkan rekod perjalanan baharu paling jauh pernah dilakukan manusia daripada bumi. Ia mengembara sekitar 406,771 km daripada bumi memecahkan rekod 400,171 km daripada bumi yang dicatatkan misi Apollo 13 pada tahun 1970

Kapsul angkasa Integrity mendarat di Lautan Pasifik berhampiran pesisir San Diego, California. Semasa kembali semua memasuki atmosfera bumi, bahagian luar kapsul mencapai suhu 2,760 °C atau sekitar separuh suhu matahari. Krew yang terdiri daripada Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen telah berjaya pindahkan ke kapal USS John P. Murtha (LPD 26) dimana mereka akan menjalani proses memeriksa kesihatan.

Dengan Artemis II dilakukan dengan jayanya, NASA kini menumpukan perhatian kepada misi Artemis III yang dijadualkan pula pada tahun 2027. Pada asalnya Artemis III ialah misi manusia kembali mendarat ke bulan tetapi pelbagai isu dengan sistem pendaratan yang dibangunkan oleh SpaceX menyebabkan misi ditangguh ke Artemis IV pada awal 2028.

Misi Artemis III diubah menjadi misi menguji sistem dan keupayaan operasi di orbit Bumi rendah bagi persediaan pendaratan Artemis IV. Ujian sambungan dan pelabuhan dengan satu atau kedua-dua pendarat komersial dari SpaceX dan Blue Origin akan dilakukan. Pemeriksaan bersepadu sistem sokongan hayat, komunikasi dan pendorongan, serta ujian sut Aktiviti Luar Kenderaan (xEVA) baharu akan turut dilakukan misi Artemis III.
