
Kenapa Kapal Angkasa Artemis II Mendarat Di Laut, Bukan Di Darat?
Penerokaan ke angkasa lepas sememangnya satu misi besar yang acap kali menjadi buah mulut semua orang.
Malah, setiap beberapa tahun, pasti ada sahaja misi-misi yang cuba dicapai oleh para angkasawan untuk menjejakkan kaki ke angkasa.
Kali ini, dunia sekali lagi menyaksikan sejarah baharu penerokaan manusia ke bulan menerusi misi Artemis II.
Walaupun mereka tidak menjejakkan kaki sepenuhnya ke bulan dan hanya mengelilinginya sahaja, misi kali ini tetap menjadi sejarah hebat di mana ia telah menjadi detik paling hampir manusia dengan bulan sejak berdekad lalu.
Kini, pasukan Artemis II kembali semula ke Bumi setelah berjaya merakam imej bahagian jauh bulan secara fizikal buat pertama kali dalam sejarah manusia.
Lebih menarik, perjalanan pulang mereka ke Bumi turut menjadi tumpuan ramai apabila kapal angkasa Orion yang membawa mereka mendarat di Lautan Pasifik.
Kongsi NASA, empat orang angkasawan iaitu Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen telah mendarat di laut pada jam 5:07 petang waktu pasifik di luar pesisir San Diego, sekali gus menamatkan perjalanan hampir 10 hari yang membawa mereka sejauh 252,756 batu dari Bumi pada jarak paling jauh mereka daripada planet asal.
Namun, mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa kapal angkasa Orion ini mendarat di laut (splashdown) dan bukan di kawasan tanah lapang.
Kenapa mendarat di laut dan bukan di tanah lapang?
Ringkasnya, lautan merupakan pilihan yang mudah diakses kerana pihak tentera boleh mengawal kawasan tersebut dengan selamat daripada orang awam, selain air yang sejuk bertindak sebagai kusyen semula jadi untuk menyerap hentakan apabila kapal angkasa mendarat, berbanding jika ia mendarat di darat.
Menurut NASA, pasukan penyelam tentera laut akan melihat keadaan persekitaran di sekeliling kapsul untuk memastikan tiada ancaman bahaya.
Baca juga:
Jauh Dari Bumi, Macam Mana Kru Artemis Boleh "Online" Ketika Di Angkasa?
Ini Keadaan Sebenar Dalam Kapal Angkasa Orion
Bagi memastikan angkasawan dapat dikeluarkan dengan selamat, para penyelam akan memasang rakit kembung yang dikenali sebagai “front porch” di bawah pintu sisi Orion bagi membantu proses keluar dari kapal angkasa.
"Selepas itu, angkasawan akan dibawa ke unit perubatan di salah satu kapal tentera laut untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selepas misi, sebelum diterbangkan ke Johnson Space Center," kata NASA.

Dalam misi-misi terdahulu, seperti Apollo 17, iaitu kali terakhir manusia mendarat di bulan, kru seramai empat orang menamatkan misi selama 13 hari dengan pendaratan splashdown di Lautan Pasifik, di mana pasukan pemulihan tentera di atas kapal USS Ticonderoga memantau penurunan kapal angkasa serta proses membawa pulang angkasawan.
Kaedah splashdown tidak banyak berubah sejak era awal penerokaan angkasa oleh NASA.
Teknik ini telah lama digunakan kerana air membantu memperlahankan hentakan dan memudahkan pasukan penyelamat mengakses kapsul dengan selamat.
Konsep "splashdown"
Bagi yang belum tahu, splashdown adalah istilah bagi pendaratan kapsul atau kapal angkasa lain ke dalam badan air dengan bantuan payung terjun. Ia merupakan kaedah pilihan NASA sebelum penciptaan Pesawat Ulang-alik (Space Shuttle).
Kini, kaedah splashdown mungkin digunakan semula sebagai cara terbaik untuk memastikan angkasawan pulang ke Bumi dengan selamat.
Apabila kapsul angkasa akhirnya mendarat di air, ia biasanya bergerak pada kelajuan sekitar 15 hingga 20 batu sejam sahaja.
Untuk memperlahankan pergerakan, NASA menggunakan teknik yang dipanggil aerobraking, iaitu kapal angkasa akan sengaja menyentuh bahagian atas atmosfera Bumi sedikit untuk menghasilkan geseran yang membantu mengurangkan kelajuan.
Payung terjun besar yang sering dikaitkan dengan splashdown hanya digunakan pada fasa akhir penerbangan, iaitu ketika kapsul berada kurang daripada 10,000 kaki dari permukaan Bumi. Jika digunakan terlalu awal di altitud tinggi, udara yang terlalu nipis boleh menyebabkan masalah.
Semua kapsul angkasa Amerika sebelum era Pesawat Ulang-alik (Space Shuttle) yang mendarat di landasan seperti kapal terbang komersial memilih kaedah splashdown berbanding pendaratan di darat.
Pilihan ini dikatakan masuk akal kerana umum mengetahui tapak pelancaran terletak di kawasan pantai, jadi kapsul angkasa ini sememangnya sudah direka untuk mampu bertahan jika berlaku pendaratan cemas di air semasa pelancaran.
Selain itu, air memberikan permukaan pendaratan yang jauh lebih lembut berbanding darat.
Namun, ada pula keburukannya. Walaupun ia dikatakan memudahkan proses pendaratan, lautan yang luas dan terbuka masih mempunyai cabaran tersendiri.
Ini kerana kerjasama antara kapal pasukan Tentera Laut diperlukan bagi tujuan mengesan dan menyelamatkan kapsul selepas splashdown.
Pada tahun 1962, contohnya, misi Aurora 7 tersasar daripada zon pendaratan yang dirancang sejauh 250 batu.
Angkasawan Scott Carpenter terpaksa menunggu selama tiga jam di dalam rakit penyelamat sebelum akhirnya diselamatkan oleh helikopter HSS-2.
Walaupun lokasi pendaratan tepat, masalah lain masih boleh berlaku. Sebelumnya, misi Skylab 4 dan Apollo–Soyuz Test Project kedua-duanya berakhir dengan kapsul terbalik di permukaan air.
Walaupun “righting spheres” kembung akhirnya membantu menegakkan semula kapsul Apollo–Soyuz yang terbalik, kru Vance Brand sempat tidak sedarkan diri sebelum itu.
Kejayaan pendaratan bukti kehebatan NASA
Misi Artemis II membuktikan keupayaan kenderaan, pasukan, seni bina misi, serta kerjasama antarabangsa yang membawa manusia kembali ke bulan.
Empat kru Artemis II kali ini telah membawa harapan seluruh dunia lebih jauh daripada jarak yang pernah dicapai manusia dalam tempoh lebih setengah abad.
Penerbangan melintasi bulan membawa mereka lebih jauh daripada mana-mana manusia sebelum ini, sekali gus mengatasi rekod jarak terdahulu yang dicapai oleh angkasawan Apollo 13 pada tahun 1970.
