SEREMBAN – Satu jawatankuasa khas pendamai perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan yang sedang berlaku ketika ini.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jawatankuasa tersebut perlu dianggotai individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Bagi saya, perlu ada tindakan segera untuk menyelesaikan kemelut ini, antaranya dengan menubuhkan jawatankuasa khas pendamai.
“Jawatankuasa ini perlulah dianggotai oleh mereka yang berpengaruh dan mempunyai kepakaran dalam adat, khususnya UUTKNS, selain tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi mencari penyelesaian terbaik supaya kemelut ini tidak berpanjangan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang berpendapat Datuk Seri Aminuddin Harun perlu segera mengambil inisiatif memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bagi meredakan krisis semasa.
Menurutnya, situasi yang berlaku tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan kerajaan negeri, sekali gus mengelakkan rakyat terus tertanya-tanya.
Namun, jelas beliau, perkara itu bukan bermaksud kerajaan negeri mencampuri urusan adat, sebaliknya sekadar memberi pandangan mengikut saluran yang betul berdasarkan UUTKNS.
“Ia demi kebaikan semua pihak dan kita tidak mahu masyarakat membuat tafsiran sendiri terhadap apa yang berlaku kerana ketiadaan penjelasan daripada pihak sepatutnya.
“Saya sendiri berasa serba salah untuk memberi pandangan, namun sebagai Exco Kanan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Selain itu, katanya, kenyataan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang mensabdakan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak layak menerajui pentadbiran negeri dan wajar diturunkan tidak boleh dipandang ringan.
Tambahnya, kenyataan tersebut menunjukkan krisis adat yang berlaku berada pada tahap serius.
Tegas beliau, UMNO Negeri Sembilan tetap berpendirian mempertahankan institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripada Aminuddin tidak berhasil kerana beliau gagal dihubungi setakat jam 2 petang.






