Krisis Asia Barat: Risiko sebenar bukan harga minyak

LocalBusiness & Finance
7 Apr 2026 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali pada Program Bicara Persada bartajuk "Krisis Asia Barat, Implikasi Ekonomi Apa langkah Malaysia" di Bilik Senat, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini. Foto Bernama

BANGI – Krisis di Asia Barat tidak wajar dilihat semata-mata melalui kenaikan harga minyak atau peningkatan kos sara hidup, sebaliknya risiko lebih besar kepada Malaysia adalah kejatuhan permintaan global yang boleh menjejaskan pendapatan serta peluang pekerjaan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, tanggapan bahawa kenaikan harga minyak akan secara automatik menyebabkan kemelesetan ekonomi adalah tidak tepat kerana banyak faktor lain turut mempengaruhi prestasi ekonomi sesebuah negara.

Menurut beliau, asas kepada kekuatan ekonomi terletak pada permintaan iaitu sejauh mana barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat diserap sama ada dalam negara atau di peringkat antarabangsa.

“Bila kita kata ekonomi meningkat atau menurun, apa maksudnya? Dalam bentuk paling mudah, ia bergantung kepada permintaan terhadap produk dan perkhidmatan yang kita hasilkan,” katanya dalam forum Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Selasa.

Beliau menjelaskan, permintaan tersebut terbahagi kepada dua komponen utama iaitu perbelanjaan domestik melibatkan isi rumah, firma serta kerajaan dan permintaan luar negara terhadap eksport serta perkhidmatan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, struktur ekonomi Malaysia pada 2024 menunjukkan kebergantungan yang tinggi kepada faktor luaran apabila kira-kira 68 peratus pertumbuhan ekonomi disumbang oleh permintaan global, manakala hanya sekitar 32 peratus datang daripada permintaan domestik.

“Ini bermaksud ekonomi Malaysia sangat berkait rapat dengan prestasi global. Bila ekonomi dunia perlahan, kesannya akan sampai kepada kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesan awal krisis sudah mula kelihatan apabila berlaku pembatalan pakej pelancongan serta penangguhan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, sekali gus menandakan pengurangan permintaan terhadap perkhidmatan negara.

Mengulas lanjut, Noor Azlan menegaskan bahawa impak krisis perlu dilihat melalui dua saluran utama iaitu peningkatan kos sara hidup dan penurunan pendapatan.

Menurut beliau, walaupun kenaikan harga memberi tekanan kepada kuasa beli rakyat, situasi lebih membimbangkan adalah apabila pendapatan turut terjejas akibat kelembapan ekonomi.

“Kalau kos sara hidup meningkat, maknanya masih ada pendapatan tetapi kuasa beli jatuh. Yang lebih risau ialah apabila pendapatan itu sendiri tiada,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa perbincangan awam terlalu tertumpu kepada isu harga dan kos pengeluaran tanpa menilai secara mendalam kesan terhadap prestasi ekonomi keseluruhan.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa pengurangan permintaan global akan memberi kesan langsung kepada firma tempatan, termasuk kemampuan membayar gaji serta mengekalkan tenaga kerja.

Selain itu, Noor Azlan turut mengkritik kebergantungan terhadap indikator makro seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan pengangguran yang sering dianggap mencerminkan keadaan sebenar ekonomi.

Katanya, pertumbuhan KDNK yang baik tidak semestinya menggambarkan kesejahteraan rakyat, manakala kadar inflasi yang rendah juga tidak bermaksud kos sara hidup rendah.

Beliau memberi contoh bahawa kadar pengangguran keseluruhan mungkin rendah namun kadar pengangguran dalam kalangan belia jauh lebih tinggi, sekali gus menunjukkan ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

“Inflasi rendah tidak bermakna kos hidup rendah. Itu ukuran ekonomi, tetapi pengalaman sebenar rakyat boleh berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu struktur harga di Malaysia yang cenderung meningkat dengan cepat apabila kos naik tetapi sukar turun walaupun kos berkurangan.

“Bila ada faktor untuk harga naik, ia naik dengan cepat. Tetapi bila faktor itu hilang, harga tidak turun. Ini satu isu dalam struktur ekonomi kita,” katanya.