KOTA BHARU - Lonjakan harga diesel global ketika ini kesan krisis Asia Barat menyaksikan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan bagi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang diunjurkan mencecah sehingga RM2.2 bilion sebulan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan harga diesel di pasaran dunia memberi implikasi besar kepada komitmen kerajaan dalam mengekalkan subsidi demi melindungi rakyat serta sektor pengangkutan.
Menurutnya, kerajaan kekal komited meneruskan pelaksanaan subsidi bahan api termasuk melalui program Budi Madani bagi petrol serta SKDS yang dilaksanakan menggunakan sistem fleet card.
"Setakat ini, SKDS melibatkan 33 jenis kenderaan di bawah dua kluster utama iaitu 10 jenis bagi sektor pengangkutan darat awam dan 23 jenis bagi sektor pengangkutan darat barangan.
"Bagi memastikan kestabilan kos operasi, kadar subsidi ditetapkan pada RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam darat dan RM2.15 seliter bagi pengangkutan barangan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.
Terdahulu beliau merasmikan Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barangan Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan.
Mengulas lanjut Armizan memaklumkan, sehingga 30 Mac lalu, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti telah diluluskan di bawah SKDS melibatkan 368,911 kenderaan di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, lonjakan harga diesel global yang mendadak memberi tekanan luar jangka kepada kewangan negara.
"Pada 26 Februari lalu, harga diesel global berada pada paras USD93 setong sebelum melonjak kepada USD239 setong pada 31 Mac, iaitu peningkatan sebanyak 158 peratus dalam tempoh singkat.
"Kesannya, perbelanjaan kerajaan bagi subsidi diesel yang sebelum ini berjumlah RM3.45 bilion setahun pada 2025 kini diunjurkan meningkat secara mendadak sehingga RM2.2 bilion sebulan," jelas beliau.
Tambahnya, apabila digabungkan dengan subsidi petrol yang mencecah RM3.3 bilion sebulan, jumlah keseluruhan subsidi tenaga kini dianggarkan sekitar RM7 bilion sebulan, berbanding hanya RM700 juta sebulan pada tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan harga global serta menilai langkah terbaik bagi memastikan keseimbangan antara keperluan fiskal negara dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

