Krisis Asia Barat: Terengganu umum Pelan Rangsangan Ekonomi Fasa 1

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis Asia Barat: Terengganu umum Pelan Rangsangan Ekonomi Fasa 1
Ahmad Samsuri

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengumumkan pelaksanaan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 bagi mendepani impak krisis Asia Barat yang mula memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik.

​Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya telah mencetuskan peningkatan kos bahan api, logistik serta insurans, sekali gus memaksa pengeluar dan peniaga menaikkan harga barang ketika ini.

​Menurut beliau, kesan ekonomi berkenaan dijangka menjadi lebih ketara dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila kenaikan kos terus mempengaruhi rantaian bekalan dan harga pasaran.

​"Bagi menangani krisis ini, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta membantu aktiviti pengeluaran padi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

​Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memperincikan enam inisiatif utama pelan rangsangan tersebut, termasuk penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih serta penyelarasan kos kontrak dengan mengambil kira perubahan kos semasa.

​Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan penumpuan khusus kepada pelaksanaan projek-projek kecil yang memberikan impak tinggi (high impact) dan mudah dilaksanakan (low-hanging fruit).

​Bagi sektor keusahawanan pula, beliau menjelaskan bahawa pemberian moratorium akan diberikan kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026.

​"Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 783 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.1 juta.

"Selain itu, kerajaan negeri turut bersetuju menambah saiz dana sebanyak RM2 juta pada tahun ini agar lebih ramai usahawan dapat dibantu," katanya.

​Menurut Ahmad Samsuri, sektor pertanian turut diberi perhatian melalui pemberian moratorium kepada peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027, melibatkan implikasi kewangan RM2.9 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 400 peminjam.

​Jelas beliau, sektor penanaman padi turut mendapat suntikan apabila kerajaan negeri bersetuju memberi insentif kepada pesawah sebanyak RM100 untuk setiap tan metrik padi yang dikeluarkan.

​"Bagi pengeluaran yang melebihi 10 tan metrik, insentif maksimum sehingga RM1,000 akan diberikan kepada setiap pesawah. Inisiatif yang melibatkan jumlah peruntukan RM3 juta ini dijangka bakal memanfaatkan seramai 4,513 orang pesawah di seluruh negeri," ujarnya.

​Bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar, beliau berkata, Belanjawan 2026 akan diselaraskan semula berdasarkan keperluan dan strategi yang lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi semasa.

" Kita harap agar semua inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain industri dalam sektor yang terlibat demi kelangsungan ekonomi negeri.

​"Kerajaan negeri akan terus berusaha bagi memastikan keseluruhan rakyat terus dibantu dan keadaan ekonomi kembali pulih kelak," katanya.