Peruntukan RM15 juta Sukan SEA 2027 perlu diurus berhemat - Exco

14 May 2026 • 11:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peruntukan RM15 juta Sukan SEA 2027 perlu diurus berhemat - Exco
Daniel

GEORGETOWN – Keadaan ekonomi semasa yang dipengaruhi konflik di Asia Barat menyebabkan pengurusan kewangan bagi penganjuran temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027 perlu dilaksanakan secara berhemat dan teliti.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, jumlah RM15 juta yang diperuntukkan kerajaan negeri bagi penganjuran enam jenis sukan di Pulau Pinang berada pada tahap perbelanjaan yang terhad berbanding keseluruhan keperluan yang perlu ditanggung Jawatankuasa Pengelola Induk Penganjuran SEA Games Malaysia 2027 peringkat Pulau Pinang.

“Dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar, peruntukan sebanyak RM15 juta daripada kerajaan negeri sememangnya perlu diurus secara berhemat kerana jumlah ini boleh dikatakan berada pada tahap perbelanjaan yang terhad berbanding keseluruhan keperluan penganjuran.

“Penganjuran itu membabitkan enam jenis sukan yang akan diadakan di Pulau Pinang,” katanya pada Mensyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.

Daniel (DAP- Padang Lalang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Yuee Harng (DAP-Pengkalan Kota) mengenai peruntukan RM15 juta yang disediakan oleh kerajaan negeri mencukupi bagi penganjuran enam jenis sukan di Pulau Pinang pada tahun 2027 kelak berikutan dunia kini sedang bergelut dengan krisis ekonomi yang teruk akibat konflik di Asia Barat.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menjangkakan berlaku peningkatan kos dalam tempoh 15 bulan akan datang melibatkan beberapa komponen utama penganjuran.

Katanya, antara kos yang dijangka meningkat termasuk penginapan, pengangkutan logistik, pengurusan dan pentadbiran, urusan teknikal serta perolehan peralatan sukan.

“Selain itu, terdapat juga kemungkinan berlakunya perbelanjaan luar jangka sepanjang tempoh penganjuran temasya sukan berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Daniel berkata, suntikan dana tambahan antara RM5 juta hingga RM10 juta daripada sektor swasta dan awam dilihat mampu membantu menyerap lebihan kos yang dijangka berlaku.

"Penglibatan pihak swasta dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan Pulau Pinang dapat menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa itu dengan lancar serta memenuhi standard ditetapkan," katanya lagi.