Krisis bahan api: Masa untuk sepakat

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketika ini, harga RON95 yang dibayar pengguna sekitar RM1.99 seliter, jauh lebih rendah berbanding anggaran harga pasaran sebenar mencecah RM3.87. Foto hiasan

ISU subsidi bahan api kembali hangat diperdebatkan setelah berlaku krisis di Timur Tengah, khususnya melibatkan RON95 dan diesel.

Namun di sebalik polemik politik, ada satu realiti besar yang wajar difahami rakyat — negara sedang menanggung beban kewangan yang sangat besar demi memastikan kos sara hidup kekal terkawal.

Ketika ini, harga RON95 yang dibayar pengguna sekitar RM1.99 seliter, jauh lebih rendah berbanding anggaran harga pasaran sebenar mencecah RM3.87.

Perbezaan ini bukan kecil. Ia mencerminkan komitmen kerajaan yang menanggung hampir RM72 bilion setahun bagi subsidi bahan api dan tenaga.

Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi satu bentuk perlindungan sosial berskala besar untuk seluruh rakyat Malaysia. Persoalannya, sampai bila model ini mampu bertahan?

Justeru, langkah penyasaran subsidi diesel yang diperkenalkan bukanlah bermaksud menarik balik bantuan, sebaliknya memastikan ia sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Kebocoran subsidi kepada pihak tidak layak, termasuk aktiviti penyeludupan dan penggunaan oleh industri tertentu yang tidak sepatutnya menikmati kadar subsidi, telah lama menjadi isu.

Maka, reformasi ini perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh sistem, bukan menekan rakyat. Namun, cabaran terbesar bukan sekadar pelaksanaan dasar, tetapi persepsi awam.

Di sinilah peranan semua pihak termasuk pembangkang dan kerajaan, menjadi sangat penting. Isu subsidi bukan bahan politik murahan untuk meraih sokongan jangka pendek, sebaliknya satu isu nasional yang menuntut kesepakatan dan kejujuran.

Rakyat hari ini semakin celik dan menilai berdasarkan fakta. Mereka mahukan penjelasan yang telus, bukan retorik berlebihan. Jika naratif yang dibina hanya bersifat menyalahkan antara satu sama lain, akhirnya yang rugi adalah rakyat sendiri.

Sudah tiba masanya semua pihak duduk semeja, mencari titik persamaan dan merangka penyelesaian jangka panjang. Kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan mengatasi kepentingan politik sempit.

Hakikatnya, kita sedang berdepan ujian ekonomi yang sama. Sama ada kerajaan atau pembangkang, matlamatnya sepatutnya serupa iaitu memastikan rakyat terus dilindungi tanpa menjejaskan masa depan kewangan negara.