KUALA LUMPUR - Krisis dalaman BERSATU terus berlarutan, tanpa menunjukkan sebarang tanda ia mampu pulih dalam masa terdekat.
Terbaru, parti itu mengumumkan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkuat kuasa serta merta.
Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan tersebut dibuat susulan keputusan Lembaga Tatatertib parti.
Menurut notis rasmi bertarikh 13 Februari 2026, Lembaga Tatatertib BERSATU, yang bersidang semalam memutuskan untuk memecat Hamzah di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti.
Jelas lembaga itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut didapati telah melanggar Fasal 9.1.4.

Bagaimanapun menurut notis, beliau berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis berkenaan.
Semakan Getaran mendapati, notis pemecatan terbabit ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Hamzah mengenai keputusan tersebut.
Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli dipetik sebagai berkata, bekas menteri kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu kini berada di Sydney, Australia bagi menguruskan urusan kemasukan ke universiti anak perempuannya.
Ia menyebabkan Hamzah tidak dapat menghadiri prosiding bersama Lembaga Disiplin di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, semalam. - Getaran, 13 Februari 2026
