KUALA LUMPUR – Pembangkang menjunjung titah Majlis Raja-Raja supaya kemelut institusi takhta Negeri Sembilan diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak perlu memberikan ruang sewajarnya kepada mekanisme perundangan serta adat yang sah untuk menentukan penyelesaian terbaik terhadap kemelut berkenaan.
Menurutnya, proses penyelesaian itu perlu dilaksanakan mengikut tertib dan kebijaksanaan bagi memelihara kedaulatan institusi beraja serta keluhuran undang-undang.
“Pembangkang menjunjung titah Majlis Raja-Raja agar kemelut melibatkan institusi takhta Negeri Sembilan diserahkan kepada pihak berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, berlandaskan peruntukan serta tatacara yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar Hamzah, kepentingan memelihara institusi beraja dan keluhuran undang-undang perlu diberikan keutamaan demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Majlis Raja-Raja pada Rabu yang menyeru supaya pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diselesaikan oleh pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah, tertib serta berwibawa.
Kemelut takhta Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selain memilih Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti.
Pertikaian kemudian timbul berhubung kesahan proklamasi itu serta pematuhan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada 31 Julai, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) memutuskan proklamasi berkenaan tidak sah, antara lain berikutan persoalan mengenai status beberapa penandatangan dan pematuhan tatacara yang ditetapkan. DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada 16 September pula, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengumumkan bahawa proklamasi penurunan takhta dan pemilihan pengganti telah disempurnakan, sekali gus mengisytiharkan Tuanku Muhriz diturunkan takhta dan Tunku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara pada 17 September menyatakan proklamasi bertarikh 19 April itu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada 14 Oktober, Majlis Raja-Raja menyeru supaya pertikaian berkenaan tidak dicampuri atau dipolitikkan pihak luar, sebaliknya diserahkan kepada pihak berkepentingan dan berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.
Pada hari sama, Tuanku Muhriz turut menegaskan bahawa sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta perlu diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan.



