Krisis pendidikan di Malaysia: Naratif indah, berbeza realiti

LocalOpinion
3 May 2026 • 8:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis pendidikan di Malaysia: Naratif indah, berbeza realiti
Siti Aishah dan laporan Sinar Harian.

DALAM tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kepimpinan Fadhlina Sidek secara konsisten menampilkan naratif kejayaan yang kelihatan meyakinkan.

Laporan Pencapaian Reformasi Pendidikan 2025 yang beliau umumkan menggariskan 15 kejayaan besar manakala dokumen Pencapaian Semasa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 pula memperlihatkan gambaran bahawa sistem pendidikan negara berada pada landasan kukuh.

Namun begitu, persoalan asas yang perlu diajukan secara jujur ialah jika sistem ini benar-benar berjaya, mengapa masalah asas pendidikan masih terus berakar dan berulang?

Jawapan kepada persoalan ini telah dihuraikan dengan jelas oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail dalam Kongres Pendidikan Bumiputera Jumaat lepas.

KPM sering membanggakan angka seperti ratusan ribu murid yang berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, kadar enrolmen yang tinggi serta pengisian guru yang hampir penuh.

Namun begitu, angka-angka ini menjadi kurang meyakinkan apabila dibandingkan dengan realiti yang didedahkan oleh Prof Asma iaitu bahawa 42 peratus kanak-kanak Malaysia masih berada dalam keadaan kemiskinan pembelajaran, iaitu tidak mampu membaca dan menulis dengan baik pada usia 10 tahun.

Lebih membimbangkan, keadaan ini berlaku walaupun Malaysia membelanjakan sekitar 3.7 hingga 3.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan, iaitu antara kadar yang tinggi berbanding beberapa negara ASEAN lain.

Seperti ditegaskan oleh Prof Asma, impak daripada peruntukan yang besar ini masih tidak memadai. Negara seperti Singapura dan Vietnam membelanjakan peratusan KDNK yang lebih rendah untuk pendidikan, tetapi berjaya mencapai hasil pembelajaran yang lebih baik.

Hal ini menunjukkan bahawa masalah utama Malaysia bukanlah kekurangan wang, tetapi kegagalan mengurus, menyusun dan mengagihkan sumber pendidikan secara strategik.

Antara kejayaan yang sering diketengahkan oleh kerajaan ialah pelaksanaan pendidikan menengah wajib hingga Tingkatan Lima. Secara prinsipnya, dasar ini kelihatan progresif kerana ia memastikan setiap anak Malaysia dilindungi undang-undang untuk terus berada dalam sistem pendidikan.

Namun begitu, dasar ini tidak boleh diraikan jika setiap tahun masih terdapat sekitar 27,000 pelajar yang gagal SPM dan keluar daripada sistem tanpa kemahiran yang mencukupi.

Sekiranya pelajar tidak lagi berminat dengan laluan akademik, mereka sepatutnya dibimbing kepada laluan TVET yang lebih sesuai, bukan dipaksa kekal dalam sistem yang tidak memenuhi potensi mereka.

Dalam hal ini, pendidikan wajib menengah boleh menjadi dasar yang kelihatan baik dari segi politik, tetapi kosong dari segi impak jika tidak disertai dengan laluan alternatif yang kukuh.

Reformasi pendidikan tidak sepatutnya hanya memastikan pelajar kekal di sekolah, tetapi mesti memastikan mereka keluar daripada sistem dengan ilmu, kemahiran dan keyakinan untuk membina masa depan.

Lebih serius lagi, sistem pendidikan kebangsaan kini berhadapan krisis kepercayaan awam. Prof Asma menegaskan bahawa hanya 45 peratus ibu bapa menyatakan keyakinan terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

Pada masa yang sama, enrolmen di sekolah swasta dan antarabangsa meningkat sebanyak 34 peratus antara tahun 2019 hingga 2024. Perkembangan ini menunjukkan bahawa semakin ramai ibu bapa, khususnya yang mempunyai kemampuan ekonomi, sedang mencari alternatif di luar sistem pendidikan kebangsaan.

Jika trend ini berterusan, Malaysia bukan sahaja berdepan cabaran pendidikan, tetapi juga risiko polarisasi sosial, kaum dan ekonomi yang lebih mendalam.

Sekolah kebangsaan sepatutnya menjadi ruang integrasi nasional, tetapi apabila keyakinan terhadapnya merosot, fungsi sekolah sebagai wahana perpaduan juga akan terjejas.

Oleh itu, adalah tidak memadai untuk kerajaan hanya menyebut indeks perpaduan yang tinggi tanpa melihat realiti bahawa sebahagian masyarakat sedang meninggalkan sistem kebangsaan secara perlahan-lahan.

Isu kualiti guru juga merupakan persoalan teras yang tidak boleh diselesaikan dengan hanya menambah bilangan guru baharu. KPM menyatakan kejayaan melantik lebih 52,000 guru baharu dengan kadar pengisian mencecah 98 peratus.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana guru-guru ini benar-benar dipersiapkan untuk mendepani cabaran pendidikan masa depan. Seperti ditegaskan oleh Prof Asma, kualiti sistem pendidikan tidak akan melebihi kualiti gurunya.

Hari ini, guru bukan sahaja perlu mengajar kandungan asas, tetapi juga perlu memahami kecerdasan buatan, kemahiran digital, pengekodan, kesihatan planet, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dunia sebenar. Malangnya, latihan semula dan peningkatan kemahiran guru dalam perkhidmatan masih tidak mencukupi.

Perubahan kurikulum berlaku dengan pantas, tetapi sokongan latihan kepada guru tidak berkembang pada kadar yang sama. Akibatnya, reformasi hanya berlaku di peringkat dokumen, sedangkan di bilik darjah guru masih bergelut dengan beban, kekangan dan kekurangan sokongan profesional.

Masalah pendidikan Malaysia turut berpunca daripada tadbir urus yang berpecah. Sistem pendidikan negara bukan dikendalikan secara bersepadu, sebaliknya melibatkan pelbagai kementerian, agensi, akta dan dasar yang berbeza.

Dalam sektor TVET sahaja, terdapat banyak kementerian yang terlibat menyebabkan penyelarasan menjadi lemah dan penggunaan sumber tidak optimum. Ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan akhirnya menyebabkan pelaksanaan dasar menjadi tidak konsisten.

Inilah sebabnya mengapa banyak dasar pendidikan Malaysia kelihatan hebat ketika diumumkan, tetapi lemah apabila dilaksanakan. Tanpa penyelarasan antara kementerian, tanpa data yang dikongsi secara bersepadu dan tanpa akauntabiliti yang jelas, sistem pendidikan akan terus menghasilkan pelan demi pelan tanpa perubahan sebenar di lapangan.

Kesilapan paling besar yang dibangkitkan oleh Prof Asma ialah agihan peruntukan pendidikan yang tidak tepat. Malaysia membelanjakan jumlah yang besar untuk pendidikan, tetapi peruntukan kepada prasekolah hanya sekitar 0.13 peratus daripada KDNK, jauh lebih rendah daripada standard antarabangsa sekitar 1 peratus.

Sedangkan pelaburan pada peringkat prasekolah memberi pulangan tertinggi dari segi pembangunan kognitif, sosial, nilai dan keupayaan pembelajaran jangka panjang.

Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja perlu menambah peruntukan, tetapi perlu berani menilai semula keutamaan perbelanjaan.

Jika prasekolah merupakan asas kepada seluruh perjalanan pendidikan seseorang murid, maka kegagalan melabur secara serius pada peringkat ini akan menyebabkan negara terus membayar kos yang lebih besar pada peringkat sekolah rendah, menengah, TVET, universiti dan pasaran kerja. Dalam kata lain, kegagalan membina asas awal akan mencipta rantaian kegagalan yang panjang.

Dokumen Pencapaian Semasa PPPM 2013–2025 sendiri sebenarnya mengakui bahawa Malaysia masih belum mencapai banyak sasaran penting. Pencapaian PISA 2022 menunjukkan Malaysia masih berada di bawah purata antarabangsa dalam literasi bacaan, matematik dan sains. TIMSS 2023 juga menunjukkan skor matematik dan sains Malaysia masih rendah berbanding purata antarabangsa.

Enrolmen TVET pula masih belum mencapai sasaran 20 peratus manakala enrolmen STEM masih belum mencapai sasaran 60 peratus. Dalam aspek pendidikan inklusif, hanya 37.4 peratus sekolah mempunyai kemudahan mesra OKU.

Semua ini menunjukkan bahawa kemajuan yang dicapai masih bersifat tidak seimbang. Memang benar terdapat pencapaian dalam akses, pengurangan jurang dan pembangunan infrastruktur tetapi pencapaian ini tidak boleh digunakan untuk menutup kelemahan yang lebih mendalam dalam mutu pembelajaran, kualiti guru, kecekapan perbelanjaan dan keyakinan awam.

Oleh itu, naratif bahawa reformasi pendidikan telah mencatat kejayaan besar perlu dinilai dengan lebih kritikal. Kerajaan tidak boleh hanya memilih angka yang kelihatan positif untuk membina imej kejayaan sedangkan indikator yang lebih asas menunjukkan bahawa sistem masih gagal menghasilkan kualiti pembelajaran yang setimpal dengan perbelanjaan negara.

Apa yang dibentangkan oleh Prof Asma memberikan satu tamparan keras kepada kerajaan. Dasar pendidikan Malaysia mungkin kelihatan cantik, peruntukan pendidikan mungkin besar, dan laporan rasmi mungkin penuh dengan istilah reformasi.

Namun begitu, semua itu tidak bermakna jika kanak-kanak masih tidak menguasai kemahiran asas, guru tidak cukup diperkasa, TVET masih belum menjadi laluan utama yang diyakini, prasekolah masih kurang diberi keutamaan dan ibu bapa semakin hilang keyakinan terhadap sekolah kebangsaan.

Kesimpulannya, masalah pendidikan Malaysia hari ini bukan kekurangan idea, tetapi kekurangan keberanian untuk mengakui kegagalan pelaksanaan.

Selagi kerajaan terus membina naratif kejayaan tanpa refleksi kritikal, selagi angka digunakan untuk menutup kelemahan struktur dan selagi peruntukan tidak diagihkan mengikut impak sebenar, reformasi pendidikan akan kekal sebagai retorik dasar dan bukan realiti perubahan.

Seperti yang ditegaskan oleh Prof Asma, isu sebenar bukanlah Malaysia tidak mempunyai wang, tetapi Malaysia tidak meletakkan wang itu di tempat yang betul.

Dan selagi kesilapan asas ini tidak diperbetulkan, tiada pelan baharu, termasuk Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, akan benar-benar mengubah masa depan pendidikan negara.

*Prof. Dr. Siti Aishah Hassan ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia