ALOR SETAR - Usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tidak semestinya perlu menunggu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu jika mahu dilakukan boleh dibuat lebih awal melalui kaedah mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi membuktikan hilang sokongan majoriti terhadap Menteri Besar.
Menurutnya, langkah berkenaan tidak memerlukan sidang DUN untuk dilaksanakan sekiranya terdapat sokongan mencukupi dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Itu pilihan dia (Abu Bakar), tetapi sebenarnya bukan tunggu sidang DUN untuk buat undi tidak percaya, di luar dewan juga boleh buat perkara itu.
“Himpun dan hantar SD sebelum sidang DUN boleh dibuat, tak perlu tunggu sidang DUN untuk buat undi tidak percaya,” katanya pada sidang akhbar di Seri Mentaloon di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Ahad, Abu Bakar secara terbuka memaklumkan akan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam ADUN mewakili PAS mengemukakan usul undi tidak percaya pada Sidang DUN bulan depan.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan tersebut sekiranya situasi berkenaan berlaku walaupun diamanahkan mempertahankan kerajaan negeri ketika ini.
Jelas Sanusi, pembubaran DUN mungkin menjadi jalan terbaik sekiranya kemelut politik melibatkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di negeri itu gagal diselesaikan.
“Kalau tak ada jalan keluar maka kena bubar, tetapi saya pun teruk juga sebab kena pergi berkempen,” katanya berseloroh.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya melihat punca sebenar yang mencetuskan krisis politik berkenaan.
Menurutnya, tumpuan tidak seharusnya memberi tumpuan terhadap tindak balas yang berlaku selepas itu.
“Apa yang orang balas itu adalah tindakan balas disebabkan apa yang dibuat. Itu perkara pokok, reaksi orang adalah kerana aksi yang dibuat awal.
“Kita kena ambil pengajaran dari situ dulu,” katanya lagi.


