IPOH – Kerajaan negeri Perak meneruskan pelaksanaan agihan lembu korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini melibatkan semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 464 ekor.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan itu dilaksanakan hasil kerjasama syarikat berkaitan kerajaan negeri melalui komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, agihan tersebut melibatkan beberapa agensi utama termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPK), Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).
“Agihan lembu korban ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, seperti pelaksanaan sebelum ini, lafaz akad korban bagi kawasan DUN yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam akan disempurnakan oleh wakil rakyat terbabit atau wakilnya.
Katanya, bagi kawasan yang diwakili ADUN bukan beragama Islam pula, proses akad akan dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Perak bagi mengedarkan garis panduan pelaksanaan khusus, terutama berkaitan aspek wakalah bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan selaras dengan kehendak syarak.
"Pelaksanaan ibadah korban ini adalah berpandukan peraturan ditetapkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia bagi menjamin kelancaran, pematuhan syarak dan aspek kesihatan awam," katanya.






