Krisis politik Negeri Sembilan: PRN hampir pasti menjadi jalan penyelesaian

LocalPolitics
25 May 2026 • 10:21 AM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Krisis politik Negeri Sembilan: PRN hampir pasti menjadi jalan penyelesaian

SEREMBAN: Ketika ramai pihak memberikan tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor berikutan tempoh penggal pemerintahan di kedua-dua negeri itu yang menghampiri penghujungnya, PRN di Negeri Sembilan pula hampir pasti tidak boleh dielakkan meskipun tempoh penggalnya hanya berakhir pada 2028.

Ini susulan krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan kesan daripada penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno-Barisan Nasional (BN) terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bermula 27 April lalu.

Walaupun 14 Adun berkenaan tetap memberikan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, krisis terbabit masih memberi impak yang kurang baik terhadap situasi politik di negeri itu. Malah, empat Adun daripada Umno-BN turut meletakkan jawatan sebagai Exco.

Meskipun penarikan sokongan dan peletakan jawatan mereka tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri, namun dari segi pandangan umum, perkara itu tetap memberikan imej yang kurang baik sekali gus boleh menjurus kepada suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat.

Susulan daripada kemelut yang berlaku, beberapa pihak terutamanya pemimpin dan tokoh politik di negeri itu berpandangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memberi laluan kepada PRN adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Jumaat lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan bahawa membubarkan Dun Negeri Sembilan dilihat sebagai langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan di Stadium Tentera Udara Diraja Malaysia Sendayan.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Adun Rantau itu berkata, langkah tersebut dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan tentang pihak yang terbaik bagi mentadbir negeri.

Beliau yang juga Menteri Luar menegaskan, pada prinsipnya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah hilang kepercayaan selepas 14 Adun Umno-BN menarik sokongan terhadapnya.

“Kalau Aminuddin sudah tidak mendapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan Dun dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan tentang siapa yang mereka mahu untuk mentadbir Negeri Sembilan.

“Jangan kita bising ‘ke hulu ke hilir’ sehingga menyebabkan rakyat rasa tidak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia yang tidak stabil dengan peperangan, jadi kita selesaikan perkara ini dengan elok,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, penyertaan Umno-BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah semata-mata untuk mengurus negara dan negeri secara bersama, bukannya untuk menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Sidang Dun diadakan segera bagi memberi ruang kepada Aminuddin membuktikan sama ada beliau masih memiliki sokongan majoriti untuk terus memegang jawatan Menteri Besar atau sebaliknya.

Sokongan DAP untuk bubar Dun

Pandangan Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat turut disokong oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. Beliau menyifatkan pembubaran Dun Negeri Sembilan sebagai langkah terbaik untuk menyelesaikan krisis politik yang berlaku.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, situasi politik di negeri itu kini dilihat tidak lagi stabil memandangkan sokongan terhadap kerajaan negeri boleh ditarik balik pada bila-bila masa. Sehubungan dengan itu, mandat rakyat perlu dikembalikan bagi memilih pentadbir negeri yang baharu.

“Kita hanya ada sehingga Oktober depan untuk mengadakan Sidang Dun dan dalam sidang itu, apa-apa pun boleh berlaku.

“Walaupun mereka (Adun Umno) kata masih memberikan sokongan kepada kerajaan, kita tidak mahu mengambil risiko sekiranya kerajaan digulingkan atau bajet ditolak. Jadi, bagi kami (PH), itu adalah satu keadaan yang cuba dielakkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pengangkutan Malaysia Merangkap Ahli Parlimen Seremban dan Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Sikamat, lewat petang semalam.

Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, pihaknya sudah menyampaikan pandangan dan cadangan membubarkan Dun kepada Aminuddin selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan. Malah, beliau menjelaskan perkara itu turut dinyatakan semasa Konvensyen PH di Johor, minggu lalu.

“Mesej yang telah kita sampaikan di Konvensyen PH di Johor sangat jelas bahawa Negeri Sembilan bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor. Kalau Johor (Dun) dibubarkan dalam waktu terdekat, mungkin juga (Dun) Negeri Sembilan akan dibubarkan.

“Bagaimanapun, hal itu terpulang kepada YAB Menteri Besar. Saya hanya memberikan cadangan dan Menteri Besar perlu membuat keputusan selepas merujuk kepada kepemimpinan tertinggi PH, Perdana Menteri, dan seterusnya mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Jadi, itu prosesnya. Apa-apa pun, peringkat PH Negeri Sembilan perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan (PRN),” katanya yang menyifatkan krisis politik di Negeri Sembilan tidak wajar berlarutan dan perlu diselesaikan segera.

Krisis institusi adat dan kesediaan PH bertanding solo

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan bahawa kesemua 14 Adun parti itu sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytiharkan perintah menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Dalam pada itu, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, PH Negeri Sembilan turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bertanding secara ‘solo’ sekiranya PRN tetap berlaku.

Menurutnya, pengalaman mentadbir negeri itu secara solo selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membuktikan PH mempunyai kekuatan tersendiri bagi mempertahankan kerajaan negeri.

“Kita pernah bertahan walaupun hanya mempunyai majoriti kecil ketika krisis politik pada tahun 2020. Itu menunjukkan PH ada kekuatan sendiri di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menjangkakan kemungkinan PRN di Negeri Sembilan diadakan serentak dengan Johor dan Melaka sekiranya berlaku pembubaran dalam tempoh terdekat.

“Seperti yang saya katakan ketika Konvensyen PH di Johor minggu lepas, kami sudah jelas bahawa jika Dun Johor dibubarkan, Negeri Sembilan juga wajar mempertimbangkan pembubaran supaya pilihan raya dapat diadakan serentak kerana ia dapat menjimatkan kos,” katanya.

Dalam satu program Ceramah Perdana PH yang diadakan di Paroi baru-baru ini, Aminuddin turut meminta rakyat Negeri Sembilan supaya bersedia untuk menghadapi kemungkinan diadakan PRN, sekali gus memberikan gambaran bahawa pilihan raya tersebut dijangka berlangsung dalam masa terdekat.