‘Krisis politik Negeri Sembilan pengajaran kepada semua pihak’

LocalPolitics
7 May 2026 • 11:57 AM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

SEREMBAN: Intipati ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) malam tadi dilihat memberi impak kepada gabungan parti pemerintah di Negeri Sembilan itu dalam usaha mereka menghadapi cabaran dan sebarang kemungkinan akan datang.

Selain memberi ruang kepada kepemimpinan negeri untuk menjelaskan kemelut politik dan adat yang berlaku kepada terutama ahli di akar umbi, ianya juga membantu pemimpin utama PH di pusat menjelaskan mengenai hala tuju mereka selepas membentuk Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

Mesej yang mereka berikan pastinya dapat membantu akar umbi memahami keadaan sebenar yang berlaku sekali gus menangkis sebarang fakta yang tidak betul dan mengelirukan khususnya berkaitan adat di Negeri Sembilan seperti yang tersebar luas melalui media sosial.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika memulakan ceramah menyifatkan krisis politik yang berlaku di negeri itu satu pengajaran kepada semua pihak agar lebih tenang dan dalam masa sama perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PH negeri itu tidak menafikan rasa terkilan dengan situasi berkenaan yang dianggap memberi kesan mendalam serta pengalaman berharga, namun menegaskan keutamaan kini adalah memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

“Ini adalah satu pengajaran supaya kita sentiasa tenang, sabar dan tidak gelabah. Dalam masa sama, saya mahu rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri.

“Perkara ini di luar kemampuan kita. Mereka masih tidak berpuas hati dan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan seolah-olah kita terpaksa menerimanya. Saya juga manusia biasa, rasa tercalar dan hiba,” katanya dalam ceramah itu yang berlangsung di medan letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Amanah negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Aminuddin menggesa penyokong parti termasuk pengundi atas pagar memperkukuh jentera parti komponen dalam PH bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri itu yang terus memberi sokongan dan mendoakan kepimpinan beliau serta kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun berdepan cabaran, pentadbiran negeri masih berjalan dengan baik dan teratur.

“Ini yang perlu diteruskan bagi memastikan kestabilan dan keyakinan pelabur kekal. Kita tidak mahu dalam tempoh singkat pelbagai perkara berlaku sehingga menjejaskan keyakinan pelabur, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Kita tidak mahu hanya bercakap soal politik, sebaliknya perlu memikirkan cara mengurangkan beban rakyat.

“Kita bimbang dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Itu yang perlu diberi perhatian, bukan hanya politik semata-mata,” katanya.

Pakatan Harapan's Ceramah Perdana in Stadium Tuanku Abdul Rahman in Paroi, Negeri Sembilan on May 6, 2026.

Pimpinan utama Pakatan Harapan pusat dan negeri (barisan hadapan) dalam menjayakan Ceramah Perdana di Medan Letak Kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Sementara itu, Loke menjelaskan bahawa tiada mana-mana pihak boleh mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan mudah selagi krisis adat dan perlembagaan di negeri itu tidak diselesaikan.

Beliau berkata, Aminuddin akan terus kekal memimpin kerajaan negeri.

“Dalam Negeri Sembilan suka tak suka, sekarang ini masih ada konflik. Masalah dalam institusi diraja. Ada lagi isu di kalangan Yang Dipertuan Besar dengan Datuk-Datuk Undang. Itu kita tak boleh campur. Kita hormat institusi itu, mesti diselesaikan dalam institusi itu.

“Tetapi selagi isu dan masalah itu tak selesai apa implikasi dia? Tak boleh ada apa-apa keputusan besar. Apa keputusan besar? Pertamanya, tak boleh lantik Menteri Besar baru sebab tak boleh ada majlis angkat sumpah.

“Kedua, tak boleh lantik mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru. Malah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tak dapat dilaksanakan,” katanya.

Loke berkata, berikutan itu kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri akan kekal dan meneruskan fungsinya seperti biasa.

“Oleh kerana ‘status quo’, tak timbul-mana pihak boleh mengambil alih sebagai Menteri Besar. Tok Min (Aminuddin) yang akan kekal menjadi Menteri Besar. Kedua nya, tak boleh ada apa-apa lantikan baru. Sebab isu (adat dan perlembagaan) belum selesai. Majlis angkat sumpah pun tak boleh diadakan.

“Tak timbul apa-apa pelantikan baru. Jadi apa yang kekal dalam MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), teruskan kerja,” katanya.

Beliau berkata, jentera parti perlu bersiap sedia jika sebarang kemungkinan DUN Negeri Sembilan dibubarkan berikutan isu sokongan yang diterima Menteri Besar.

“Kita kena bersedia pada bila-bila masa kalau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kita masuk gelanggang, kita lawan. Kita nak dapat semula mandat daripada rakyat,” katanya yang turut mencabar mana-mana pihak supaya mengemuka usul undi percaya atau tidak percaya kepada Menteri Besar.

Katanya, hanya ada dua cara sesebuah kerajaan itu boleh jatuh iaitu Menteri Besar digulingkan melalui usul undi tak percaya dalam DUN.

“Kerajaan juga boleh jatuh kalau undi kita kalah dalam dewan. Tetapi dalam dewan kita tak kalah. Dewan ditangguhkan juga atas permintaan rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan Kerajaan Perpaduan akan terus memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu mengekalkan kestabilan politik, memacu kemakmuran ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, prinsip itu juga menjadi asas penyatuan dalam Kerajaan Perpaduan dan telah dibuktikan pelaksanaannya sejak tiga tahun lalu.

“Kerajaan ini dibentuk berasaskan saling percaya dan hormat. Dua nilai politik inilah, trust and respect, sebab itulah saya kagum dengan Tok Min (Aminuddin) berjaya mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan dan mentadbir dengan jaya,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan terhadap kesinambungan kepimpinan sedia ada, dengan tempoh penggal semasa yang berbaki kurang daripada dua tahun.

“Kita letakkan keyakinan kuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita nak beliau teruskan penggal berbaki dan kalau ditanya apa hala tuju PH, kita nak berusaha untuk memerintah penggal kedua dan Anwar memimpin sebagai Perdana Menteri penggal yang kedua.

“Hala tuju kita sangat jelas dan itu mesti bermula dengan Negeri Sembilan, kita terus bina kekuatan dan Tok Min akan terus memimpin dengan penuh cemerlang,” katanya.