Krisis Politik NS: ‘Segera Rujuk Kerajaan Pusat Jika Keputusan Boleh Cetus Konflik’

LocalPolitics
6 May 2026 • 8:13 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Politik NS: ‘Segera Rujuk Kerajaan Pusat Jika Keputusan Boleh Cetus Konflik’

KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan oleh kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan perlu dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan (PH) pada kadar segera.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan berkenaan dicapai menerusi Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, antara UMNO dan PH, semalam.

Menurut beliau, sesi rundingan berkenaan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku teraju utama blok masing-masing. 

“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.

“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kenyataan tersebut turut ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketika ini, pentadbiran di Negeri Sembilan masih ditadbir blok PH di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bergerak sebagai kerajaan minoriti.

Kemelut politik negeri berkenaan tercetus apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN hampir dua minggu lalu mengumumkan penarikan semula sokongan terhadap Aminuddin.

Kumpulan ADUN terlibat turut mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Aminuddin.

Tindakan itu didakwa diambil susulan krisis melibatkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid semalam dipetik sebagai berkata, kesemua 14 ADUN terbabit mengesahkan akan tetap kekal bersama pentadbiran kerajaan PH negeri. - Getaran, 6 Mei 2026