Krisis takhta NS: Hari kedua masih buntu

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 8:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis takhta NS: Hari kedua masih buntu
Kenyataan media penafian kenyataan Aminuddin.

SEREMBAN - Hari kedua krisis takhta Negeri Sembilan masih menemui jalan buntu apabila tiada sebarang keputusan dikeluarkan pihak istana atau Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.

Malah lebih mengejutkan tiga ahli Dewan DKU Negeri Sembilan yang mendakwa hadir dalam Mesyuarat Khas diadakan pada 17 April lalu mengeluarkan satu kenyataan bersama menjelaskan situasi yang berlaku pada tarikh berkenaan.

Mereka terdiri daripada, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah(Undang Luak Johol), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin) dan Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid (Datuk Shahbandar Sungei Ujong).

Menerusi kenyataan itu, mereka mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pemecatan Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Dakwa mereka lagi, kenyataan Aminuddin berkenaan bukan sahaja tidak relevan, malah merupakan satu pembohongan kerana ahli-ahli DKU yang hadir pada Mesyuarat Khas DKU Bilangan 1/2026 pada 17 April lalu tidak pernah mencapai sebarang keputusan secara kolektif dan sebulat suara.

Menurut mereka, merujuk Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959, Yang di-Pertuan Besar selaku Pengerusi DKU tidak mempunyai kuasa secara bersendirian untuk membuat keputusan atau mengeluarkan nasihat bagi pihak dewan.

Justeru kata mereka, kenyataan media Aminuddin bertarikh 17 April adalah tidak benar dan sebarang nasihat sebagaimana yang dinyatakan adalah tidak teratur serta bertentangan dengan UUTKNS 1959 dan tidak sah.

Tegas mereka lagi, mereka sama sekali tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra yang didakwa dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selaras Fasal 14(3) UUTKNS 1959.

Pada masa sama, mereka turut mendakwa Ibu Soko Klana Hulu dan waris Klana Hulu yang hadir dalam sidang khas DKU pada 17 April terbabit merupakan penyandang pesaka yang telah dihukum dan waris yang terhukum.

Oleh sebab itu ujar mereka, pendengaran DKU pada hari tersebut adalah cacat dan salah, sekali gus melanggar perjanjian antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan Undang Yang Empat bertarikh 16 Mei 1934 yang menurut mereka masih berkuat kuasa hingga hari ini.

Malah tiga Ahli DKU itu turut berpendapat Aminuddin tidak layak untuk menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan selayaknya diturunkan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan kenyataan terbaharu Aminuddin bertarikh 20 April berkenaan pemecatan Mubarak.

Aminuddin berkata, tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungei Ujong pada Ahad tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana ujarnya, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS 1959.

Ketika krisis takhta Negeri Sembilan ini berlaku, timbul pula kenyataan lain memaklumkan bahawa Undang Luak Jelebu ke-16, Datuk Maarof Mat Rashad telah dilucutkan berkuat kuasa sejak 31 Mei 2023.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan oleh Datuk Menteri Sah Memangku Alam Raja Sahari, Ismail Mohd Zain mendakwa bahawa pemecatan Maarof tersebut dibuat kerana salah laku yang melibatkan 16 kesalahan adat yang telah pun dibawa ke DKU untuk diperakukan dan diwartakan oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Tambahnya, merujuk Kanun Adat Jelebu 1912, Datuk Menteri Sah Memangku Alam Raja Sahari memegang kendali adat memberi atau perlucutan penyandang pusaka, manakala kuasa untuk dilucutkan atau disandang terletak kepada warisnya.

Justeru katanya, apa saja keputusan dan tindakan oleh Maarof mulai 31 Mei 2023 hendaklah dianggap sebagai tidak sah.

Bagaimanapun Sinar Harian masih berusaha mengesahkan kenyataan media terbabit walaupun ia turut dikongsi kepada media oleh sumber kerajaan.