
BANGI: Seorang pakar adat menjelaskan bahawa keputusan Undang Yang Empat untuk “memecat” Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar tidak sah dari segi undang-undang adat.
“Proses tidak dipenuhi. Alasan tidak dijelaskan. Tak ada bukti seperti ayam putih terbang siang,” kata Dr Faizal Musa, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika ditemuramah oleh Twentytwo13.
“Undang-undang Perlembagaan negeri juga pun tidak terpenuhi. Kalau kita lihat perbincangan atau perbahasan rakyat Negeri Sembilan ataupun orang yang mendiami Negeri Sembilan, mereka keliru.”
Faizal, yang juga merupakan Felo Kanan Pelawat di ISEAS – Yusof Ishak Institute, menegaskan bahawa proses untuk menurunkan seorang Yang diPertuan Besar mestilah jelas.
“Dalam keadaan konteks hari ini, kita ada teknologi. Adat lalu di tanah terang ini maksudnya kita kena ada YouTube live, Facebook live atau apa sahaja untuk lihat proses ini. Adakah itu berlaku? Tak ada.
“Semua orang terkejut apabila Undang Yang Empat tiba-tiba buat sidang akhbar seperti itu. Semua orang Negeri Sembilan dalam keadaan kebingungan.”
Faizal yang juga mengkaji perubahan-perubahan dinamik politik dan kepimpinan orang Melayu di semua negeri termasuk bagaimana agama dan adat itu mewarnai perubahan-perubahan dalam masyarakat Melayu berkata proses untuk menurunkan seorang pemimpin bukanya hal yang remeh.
“Dalam hal krisis yang melibatkan Yang di-Pertuan Besar, menurunkan seorang pemimpin ini satu hal yang sangat penting dan besar.
“Proses (menurunkan) harus dilakukan dengan teratur. Apabila ini berlaku, barulah muafakat akan terhasil.”
Namun Faizal berkata apa yang dilihat berlaku adalah sebaliknya.
“Apabila dakwaan ataupun alasan pemecatan dengan pengikat kata itu pun tidak jelas dan tidak difahami, jadi, di mana muafakatnya telah dicapai berbanding dengan alasan yang diberikan untuk menurunkan Undang Sungai Ujong.
Faizal berkata penuruan Undang Sungai Ujong dilihat lebih terperinci dan lebih jelas.
“Paling tidak, ianya ada melalui proses-proses tertentu yang boleh dirujuk ooleh anak buah.”
Menurut Faizal, keadaan ini sekaligus mewujudkan kekeliruan.
“Semua tanya, apa ini? Apa yang berlaku? Dan tiba-tiba media dipenuhi dengan semua maklumat-maklumat tentang Adat Perpatih yang sangat mengelirukan.”
Faizal juga berkata pemecatan Yang di-Pertuan Besar berlaku dengan sangat cepat.
“Sesuatu yang sangat tergesa-gesa seperti ini tentu akan menimbulkan kesilapan.
“Tidak ada perkara yang dilakukan dengan tergesa-gesa akan membolehkan kita mendapat satu muafakat yang jitu.”
Faizal menegaskan penjelasan itu penting, kerana Tuanku Muhriz dianggap sebagai seorang yang merakyat.
“Bukan sahaja merakyat, Tuanku Muhriz senang didekati, dan beliau dianggap terpelajar dan juga sering menyuarakan isu-isu semasa menurut selari dengan pandangan rakyat kebanyakan contohnya tentang korupsi, isu rasuah.
“Baginda tegas dan hal ini selari dengan pandangan orang awam. Ini sebenarnya yang perlu kita ambil kira bahawa bukan suara Undang Yang Empat sahaja, suara lembaga, suara buapak, suara ibu soko, suara pembesar adat juga perlu diambil kira.”
Tambahnya lagi, suara rakyat dalam konteks Negeri Sembilan moden, juga harus diambil kira.
“Dan itu akan nanti membawa kita kepada satu jalur yang lain, ada Menteri Besar, ada undangan negeri juga.”
Pada 19 April yang lalu, Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Krisis di Negeri Sembilan berlaku apabila Undang menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungai Ujong pula didakwa sudah dipecat.
Patutkah Seri Menanti terus menyepi?
Menurut Faizal, Tuanku Muhriz mempunyai hak untuk mempertahankan diri.
“Tetapi, baginda mesti tahu pertahankan diri daripada apa? Sebab apabila baginda diturunkan, ia tidak dijelaskan,” kata Faizal.
“Dan dalam Adat Perpatih, dakwaan-dakwaan seperti ini tidak boleh diterima pakai. Ia mesti jelas. Kalau ada pelanggaran hukum Syarak. Apakah dia? Dan dalam dalam pelanggaran hukum Syarak, untuk undang-undang Syariah, ada prosedurnya.
“Yang di-Pertuan Besar, dalam hal ini, bila dituduh, tentulah baginda berhak untuk untuk mempertahankan diri.”
Faizal berkata tiba masanya untuk pembesar-pembesar adat merenungkan bahawa mereka ini menjadi contoh atau tidak.
“Sebab masyarakat sedang memerhatikan dan bukan sahaja anak buah ataupun masyarakat Negeri Sembilan, tapi juga orang luar Negeri Sembilan,” katanya lagi.
@twentytwo13news Patutkah Seri Menanti menyepi atau bersuara? Kami mendapatkan pandangan daripada pakar adat, Dr. Faizal Musa, yang merupakan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia mengenai situasi semasa di Negeri Sembilan. Baca selebihnya di twentytwo13.my #berita #twentytwo13 #negerisembilan #Malaysia ♬ original sound – Twentytwo13



