Krisis Tenaga Global: Harga Makanan Dijangka Naik Pada Separuh Kedua Tahun Ini – Mat Sabu

LocalFood
14 May 2026 • 10:25 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Krisis Tenaga Global: Harga Makanan Dijangka Naik Pada Separuh Kedua Tahun Ini – Mat Sabu

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kerajaan Malaysia menjangkakan harga makanan akan terus meningkat menjelang separuh kedua tahun ini ekoran krisis tenaga yang dirasai dunia pada ketika ini. Ini sekaligus memberi impak yang besar kepada kos penghantaran untuk baja dan makanan ternakan.

Bagaimanapun menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kerajaan sudah mula mengambil langkah dan inisiatif awal bagi menangani perkara itu.

Tambah beliau, kenaikan harga minyak ini juga dijangka menjejaskan rantaian bekalan makanan negara termasuk industri penternakan dan perikanan.

Image from: Krisis Tenaga Global: Harga Makanan Dijangka Naik Pada Separuh Kedua Tahun Ini – Mat Sabu
Sumber: Malay Mail

Walaupun Harga Makanan Belum Naik Ketara, Orang Ramai Tidak Patut Rasa Selesa – Mat Sabu

Menurut Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kerajaan juga bimbang dengan kenaikan harga bijirin ternakan serta soya yang menjadi komponen utama makanan bagi ternakan ayam.

“Sekarang ini kenaikan harga belum ketara melainkan pergi kedai mewah tetapi kita tidak boleh selesa kerana kita tidak tahu masalah ini (sampai bila) terutama bila berlaku kenaikan harga makanan ayam misalnya soya dan kacang hijau, maka akan berlaku perubahan harga.

“Kita akan pantau jika ada perubahan dan akan umum kepada media,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Kenaikan Harga Minyak Akan Beri Kesan Kepada Kos Logistik

Mohamad menjelaskan bahawa Malaysia masih bergantung kepada import bijirin makanan ternakan dari beberapa negara seperti Brazil dan Argentina manakala bekalan beras pula dibawa masuk dari Pakistan, India, serta Bangladesh.

Meskipun penghantaran masih tidak terjejas ketika ini, kenaikan harga minyak dunia tetap memberi impak kepada kos logistik dan pertanian.

“Tidak ada gangguan, cuma apabila berlaku kenaikan harga minyak, kos penghantaran akan meningkat. Serupa juga dengan baja, apabila berlaku krisis tenaga ia akan babitkan semua,” katanya.

Langkah Kerajaan Tangani Kenaikan Harga Makanan

Bagi memastikan negara bersiap sedia dengan kenaikan harga tersebut, kerajaan telah mengambil langkah awal bagi memperkukuh sektor akuakultur.

Langkah itu diambil bagi memastikan bekalan protein negara kekal stabil sekiranya hasil tangkapan menurun dalam beberapa bulan mendatang akibat peningkatan kos operasi nelayan.

“Ketika ini saya dan kementerian memberi tumpuan kepada bidang akuakultur supaya dalam masa tiga empat bulan lagi pengeluaran ikan ini akan menampung protein kalaulah berlaku kekurangan tangkapan laut,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas termasuk beras berada pada tahap terkawal dan mencukupi hingga akhir tahun.

“Sayur pula berlaku lambakan, lebihan di Cameron Highlands (sampai) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terpaksa melakukan inisiatif membeli atau mencari penyelesaian,” tambahnya.

Dalam masa sama, kerajaan juga akan mencari strategi dan jalan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga ini.

“Daripada situ kita lihat apakah intervensi yang boleh diambil oleh kerajaan.

“Kementerian Ekonomi khasnya Kementerian Kewangan akan memerhati dan membuat tindakan segera bagaimana untuk meringankan bebanan rakyat kerana selepas tiga bulan kita yakin peniaga mula merasai kenaikan harga ini,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: “Jimat Banyak!”- Pasangan Hanya Belanja RM241 Lepas Rancang Menu Masakan Untuk Sebulan

Baca Artikel Berkaitan: Ada Peniaga Di Melaka Naikkan Harga Ayam Sebanyak RM0.70

Baca Artikel Berkaitan: Bantuan Budi Agri-Komoditi & Budi Diesel Naik RM400