Krisis tenaga global: LCS, projek mega bawah MINDEF diteruskan ikut perancangan

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 4:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Projek mega di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) termasuk pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan biarpun kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan akibat krisis tenaga global.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, projek berkenaan akan diteruskan mengikut perancangan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerana melibatkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

Jika ditangguhkan, kata beliau, ia akan memberikan impak kewangan yang lebih besar kepada negara.

“Lagi lama kita menunggu dan menangguhkan (projek mega) ia akan memberikan impak kewangan yang lebih besar kepada kepada kita. Sebenarnya, paling penting adalah untuk menjaga kedaulatan dan mengoptimumkan keupayaan anggota pertahanan kita.

“Buat masa ini kita memang kekalkan projek yang telah kita rancang dan apa yang telah kita laksanakan,” lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut, Ipoh, hari ini.

Adly memberitahu, kementerian itu akan mengenal pasti langkah penjimatan yang boleh dilaksanakan secara berhemat tanpa menjejaskan aspek operasi dan latihan ATM.

“Kita di MINDEF sudah mengenal pasti beberapa bahagian dan pihak yang terlibat untuk bekerja dari rumah (BDR), kita akan dukung usaha ini supaya berbelanja secara berhemat.

“Tetapi dari aspek operasi dan sebagainya (latihan), ia (langkah penjimatan) tidak tidak akan mengganggu sebarang bentuk operasi sama ada di darat, laut dan udara kerana ia satu aspek keselamatan yang kita berikan tumpuan dan mengoptimumkan keupayaan kita,” katanya.

Adly berkata program kementerian terdapat dalam bentuk latihan, selain melibatkan inisiatif yang menghubungkan ATM dengan masyarakat dalam konteks sivik, dengan kesemuanya akan diteruskan. - 7 April, 2026

The post Krisis tenaga global: LCS, projek mega bawah MINDEF diteruskan ikut perancangan appeared first on Scoop.