Krisis tenaga global: PGSM syor sebutan kes Mahkamah Syariah secara dalam talian

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 3:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis tenaga global: PGSM syor sebutan kes Mahkamah Syariah secara dalam talian
Musa Awang

SHAH ALAM - Mahkamah Syariah di seluruh negara dicadangkan agar menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian bagi mendepani krisis tenaga global yang sedang melanda.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang berkata, inisiatif tersebut perlu bagi mempraktikkan amalan berjimat dan dapat membantu mengurangkan beban tenaga ekoran krisis Asia Barat yang dijangka berpanjangan.

Beliau menjelaskan, prosiding perbicaraan, keputusan atau Majlis Sulh boleh diteruskan secara fizikal seperti biasa.

"Dari sudut undang-undang syariah, prosiding secara dalam talian atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh boleh dijalankan dengan merujuk kepada beberapa peruntukan.

"Antaranya Seksyen 40A, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Pindaan 2024) dan Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2022), 'hadir' termasuklah kehadiran oleh mana-mana orang secara teknologi komunikasi jarak jauh," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, bekerja dari rumah (BDR) dibenarkan bagi pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang jarak perjalanannya melebihi lapan kilometer (km) sehala dari pejabat ke rumah.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi surat edaran pelaksanaan bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam berikutan konflik Asia Barat.

Kata Musa lagi, tumpuan utama pelaksanaan perlu diberikan kepada kawasan berisiko tinggi yang sering berdepan masalah kesesakan jalan raya.

"Fokus awal boleh dimulakan di kawasan berimpak tinggi seperti di Lembah Klang dan semua ibu negeri serta bandar-bandar utama lain khususnya tempat yang mengalami masalah kesesakan jalan raya. Seterusnya, boleh dilaksanakan dengan menyeluruh di seluruh negara secara berperingkat.

"Pelaksanaan ini diharap dapat membantu mengurangkan beban tenaga, selain memberi keseimbangan dan memastikan kelangsungan kehidupan kepada masyarakat awam dan Peguam Syarie yang terlibat," ujarnya.

Beliau menambah, pelaksanaan itu juga merupakan sebahagian langkah proaktif bagi memperkasa kesiapsiagaan dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan tenaga susulan konflik tersebut.