amree15/04/2026 - 16:50 Gambar hiasan - Foto ihsan Jakim Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 April — Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan mahkamah syariah di seluruh negara melaksanakan beberapa prosiding sebutan kes secara dalam talian sepenuhnya.
Presidennya, Musa Awang berkata, langkah tersebut dapat menjimatkan kos dan mengurangkan tekanan terhadap sumber tenaga kerja kehakiman susulan krisis tenaga global yang semakin berterusan.
Syor itu melibatkan peguam syarie dan awam yang mengendalikan kes di mahkamah syariah, namun prosiding perbicaraan, penghakiman serta sesi Sulh masih dikekalkan secara fizikal seperti biasa.
"Pelaksanaan awal boleh difokuskan di kawasan berkepadatan tinggi yang berdepan kesesakan lalu lintas serius sebelum diperluaskan secara berperingkat," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Ujar Musa, langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan kes, malah mengurangkan kos perjalanan dan masa, selain dapat membantu dalam mengoptimumkan sumber tenaga kerja kehakiman.
Dari sudut perundangan syariah, beliau menjelaskan yang pelaksanaan prosiding secara dalam talian sebenarnya adalah dibenarkan di bawah peruntukan sedia ada dan ia juga bukan perkara baharu.
Ini termasuk Seksyen 40A Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Pindaan 2024) dan Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 (Pindaan 2022).
"Peruntukan itu memberi kuasa kepada hakim atau pendaftar bagi prosiding dibuat secara komunikasi jarak jauh, sekali gus membuka ruang kepada pendigitalan sistem kehakiman syariah," tambah Musa.
PGSM jelas beliau, berpandangan pelaksanaan inisiatif ini mampu memastikan keseimbangan antara tahap kecekapan operasi mahkamah dan kelangsungan pendapatan pengamal undang-undang itu sendiri.
Di samping itu ujarnya, ia menjadi langkah proaktif dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Timur Tengah yang memberi tekanan kepada kos tenaga global. - DagangNews.com
