RANAU - Kementerian Kewangan Sabah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membuat penilaian semula terhadap projek-projek pembangunan susulan kesan krisis tenaga global yang sedang melanda ketika ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah itu diambil selepas Kabinet negeri bersetuju supaya satu penelitian menyeluruh dilakukan terhadap komitmen kewangan kerajaan, khususnya melibatkan projek yang berisiko terjejas akibat kenaikan harga minyak.
"Dalam mesyuarat Kabinet yang lepas, kita telah membincangkan dan saya selaku Menteri Kewangan memaklumkan bahawa kerajaan sedang dalam proses menilai semua komitmen kewangan dengan mengambil kira kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kos pelaksanaan projek.
"Penekanan diberikan kepada projek infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air, namun realitinya banyak projek berdepan risiko terjejas kerana nilai kontrak asal tidak lagi mencukupi untuk disiapkan oleh kontraktor," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Ranau, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, Kabinet telah meminta Kementerian Kewangan meneliti aspek kontrak yang mungkin memerlukan campur tangan kerajaan bagi mengelakkan projek terbengkalai.
Tambahnya, walaupun terdapat pandangan bahawa kontraktor seharusnya menyiapkan projek berdasarkan nilai kontrak asal, situasi semasa yang menyaksikan kenaikan mendadak harga minyak perlu diambil kira.
"Jika kita berkeras tanpa sebarang penyesuaian, risiko projek tergendala adalah tinggi dan ini akan memberi kesan besar kepada perancangan kerajaan serta rakyat yang menunggu kemudahan asas tersebut," jelasnya.
Sehubungan itu, Masidi memaklumkan bahawa satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat Kementerian Kewangan bagi menilai semula projek-projek yang terlibat dan mengenal pasti bentuk intervensi yang sesuai.
Katanya, matlamat utama kerajaan adalah memastikan projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan rakyat.
"Mungkin akan ada keperluan intervensi supaya projek-projek penting ini dapat diteruskan dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kerana jika gagal, kesannya akan menjejaskan banyak pihak termasuk rakyat yang memerlukan infrastruktur tersebut," katanya.



