RANAU - Pemberian subsidi kepada Sabah dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap keadaan infrastruktur dan sosioekonomi negeri yang masih ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sokongan terhadap dasar tersebut seharusnya diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia memandangkan jurang pembangunan yang masih wujud, khususnya dari segi kemudahan asas seperti jalan raya serta kadar kemiskinan.
"Subsidi ini sepatutnya disokong oleh semua penduduk Malaysia. Kalau kita lihat dan perhatikan, Sabah dan Sarawak ini masih jauh ketinggalan berbandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung. Keadaan jalan raya kita tidak begitu baik kalau dibandingkan di sana.
"Jadi subsidi ini penting sebagai pengiktirafan kepada keadaan infrastruktur kita di Sabah yang belum begitu baik, selain mengambil kira peratusan penduduk miskin di negeri ini yang antara tertinggi di Malaysia," katanya semasa ditemui pemberita sempena Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Ranau, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pemberian subsidi kepada Sabah dan Sarawak yang diteruskan, yang mencetuskan pelbagai reaksi termasuk persoalan dan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menegaskan bahawa faktor sumbangan Sabah dan Sarawak kepada hasil negara juga sering terlepas pandang oleh sesetengah pihak.
Menurutnya, kedua-dua negeri tersebut merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran minyak dan gas negara yang selama ini membantu memacu pembangunan negeri-negeri lain.
"Ramai orang terlepas pandang bahawa pengeluar utama minyak di Malaysia ialah Sabah dan Sarawak. Jika kita ambil kekayaan daripada minyak ini sebagai sandaran, Sabah telah menyumbang kepada pembangunan seluruh negara.
"Dalam erti kata lain, hasil minyak daripada Sabah dan Sarawak boleh dianggap sebagai satu bentuk subsidi daripada dua negeri ini yang membantu negeri-negeri lain yang tidak mempunyai sumber tersebut untuk membangun," jelasnya.
Sehubungan itu, Masidi menyifatkan pemberian subsidi oleh kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak sebagai wajar diteruskan, malah merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar kedua-dua negeri tersebut kepada kemakmuran negara.
Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan keperluan subsidi berkenaan, dengan menyatakan bahawa pandangan sedemikian mungkin berpunca daripada kurangnya pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia serta signifikan sumbangan Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Masidi mengakui isu penyelarasan subsidi diesel merupakan perkara yang kompleks dan perlu diteliti secara berterusan oleh kerajaan, khususnya dalam konteks ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
"Ini satu isu yang rumit. Kita harapkan konflik di Timur Tengah akan tamat dalam masa terdekat kerana jika ia berterusan, ia akan menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menanggung subsidi.
"Kerajaan perlu melihat isu ini dari semasa ke semasa dan membuat penambahbaikan yang sesuai. Pengurangan subsidi diesel daripada RM300 kepada RM200 misalnya, harus dilihat secara positif kerana dalam keadaan sukar ini, semua pihak perlu berkorban," katanya.
Tambah beliau, krisis bekalan minyak yang berlaku ketika ini merupakan isu global dan bukan hanya melibatkan Malaysia, malah memberi kesan lebih teruk kepada negara lain.
"Ramai yang tidak faham bahawa kekurangan minyak ini adalah masalah global. Alhamdulillah, di Malaysia kesannya masih belum begitu dirasai berbanding negara lain yang sudah berdepan situasi hampir darurat akibat kekurangan bekalan.
"Jadi semua faktor ini perlu diambil kira apabila menilai tindakan kerajaan. Walaupun ada beban kepada rakyat, saya melihat beban itu masih lebih rendah berbanding apa yang ditanggung oleh rakyat di negara lain," katanya.
Sinar Harian dalam laporan muka hadapan pada Sabtu melaporkan isu subsidi diesel di Sabah dan Sarawak terus menjadi perhatian, khususnya melibatkan keperluan mengambil kira faktor geografi, tahap pembangunan infrastruktur serta beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
