
KUALA LUMPUR: Kriteria dan standard khusus mengenai pelantikan pengurusan tertinggi dalam Lembaga Tabung Haji (TH) perlu ditetapkan supaya krisis sama tidak berulang pada masa akan datang.
Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Santubong) berkata, TH memerlukan seseorang yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai walaupun individu berkenaan mempunyai latar belakang politik.
“Pada masa yang sama, kita tidak boleh membiarkan label atau kedudukan politik menjadi pengganti kepada fit and proper requirements.
“Justeru, saya berpandangan bahawa penetapan kriteria khusus bagi pelantikan ahli lembaga, kaedah pemilihan yang jelas dan bidang kepakaran yang diperlukan merupakan langkah yang sangat penting.
“Jika prinsip ini diinstitusikan, maka siapa pun latar belakang seseorang calon, akhirnya ukuran yang paling penting ialah adakah dia layak? Adakah dia sesuai? Adakah dia mempunyai kepakaran? Dan adakah dia mampu memegang amanah tersebut? Itulah pendekatan yang lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy berkata, standard perlu ditetapkan supaya pertimbangan utama bagi sesuatu pelantikan dibuat berdasarkan merit dan kesesuaian dengan tanggungjawab.
Dalam pada itu, Nancy berkata, penjualan 95 peratus pegangan TH dalam PT TH Indo Plantations kepada PT Borneo Pacific perlu mendapat penelitian serius.
Katanya, terdapat beberapa persoalan yang memerlukan pencerahan yang lebih jelas seperti harga urus niaga yang dilaporkan berkurang sebanyak AS$100 juta daripada nilai asal $AS910 juta kepada $AS810 juta.
“Pada masa yang sama, pembeli tidak membuat bayaran mengikut jadual yang dipersetujui. Apa yang lebih pelik ialah TH pula dilaporkan terpaksa memberikan pendahuluan berjumlah $AS178.6 juta bagi memenuhi kewajipan yang sepatutnya dilunaskan oleh pihak pembeli.
“Ini bukan sekadar persoalan sama ada sesuatu pelaburan itu untung atau rugi. Ia menimbulkan persoalan yang lebih asas tentang bagaimana keputusan urus niaga tersebut dibuat, pertimbangan yang digunakan serta perlindungan yang diberikan kepada kepentingan TH dan akauntabiliti terhadap keputusan tersebut,” katanya.-UTUSAN
The post Kriteria khusus lantikan pengurusan tertinggi TH appeared first on Utusan Malaysia.






