Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah dan jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) dihentikan.
Muhyiddin berkata, langkah berkenaan penting bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.
“Selain itu, selaras dengan syor RCI Tabung Haji, amalan melantik tokoh politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah mahupun jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji hendaklah dihentikan.
“Ini bagi mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan pelaburan dan pengurusan dana pendeposit.
“Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Tabung Haji termasuk anak-anak syarikat Tabung Haji hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional, serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang, dan syariah,” katanya.

Foto arkib: Utusan
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Penambahbaikan Pengurusan dan Pengendalian Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ujian fit and proper person juga perlu dilaksanakan dengan kriteria penapisan yang ketat mengikut piawaian kawal selia sebelum mana-mana individu dilantik ke jawatan berkenaan.
“Ujian fit and proper person hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan kriteria penapisan yang ketat mengikut piawaian kawal selia seperti yang terkandung dalam garis panduan Bank Negara Malaysia sebelum mana-mana individu dilantik.
“Syarat ini adalah penting untuk memastikan individu yang dilantik bebas daripada sebarang konflik kepentingan, isu integriti, atau tekanan politik luar,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan Jawatankuasa Pelaburan TH perlu bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana arahan luar yang boleh menjejaskan kepentingan kewangan pendeposit.
“Selain itu, Jawatankuasa Pelaburan Tabung Haji juga hendaklah bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana arahan luar yang boleh meragut kepentingan kewangan pendeposit,” katanya.
Dalam perbahasannya, Muhyiddin turut menegaskan bahawa TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan atau entiti pelaburan biasa, sebaliknya merupakan institusi amanah umat Islam yang membantu mereka menunaikan ibadah haji.

Foto arkib: NSTP
Sehubungan itu, beliau berkata penemuan RCI yang antara lain mendedahkan TH mencatatkan kerugian keseluruhan dianggarkan antara RM10 bilion hingga RM12.6 bilion bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu diberikan perhatian serius dan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.
“Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan atau entiti pelaburan biasa. Ia adalah institusi amanah umat Islam yang sejak sekian lama membantu mereka menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah haji.
“Oleh itu, penemuan laporan ini yang antara lain mendedahkan bahawa Lembaga Tabung Haji antara tahun 2014 hingga 2020 mencatatkan kerugian keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM10 bilion hingga RM12.6 bilion wajar diberikan perhatian yang amat serius dan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” ujar Muhyiddin.
Muhyiddin berkata, isu utama yang perlu diberikan perhatian dalam laporan berkenaan ialah tadbir urus TH, khususnya tahap akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan syariah dalam pengurusan institusi amanah itu.
Menurutnya, laporan RCI menunjukkan berlakunya kecurangan tadbir urus dan kelemahan kawalan dalaman yang serius pada masa lalu, termasuk keputusan kritikal membabitkan dana berbilion ringgit yang dibuat tanpa penelitian risiko secara mendalam dan menyeluruh serta mengetepikan garis panduan pelaburan yang ketat.
Beliau berkata, keadaan itu mendedahkan keselamatan dana pendeposit kepada risiko kemerosotan nilai yang nyata apabila prinsip akauntabiliti tidak dipatuhi.
Sumber: Facebook Muhyiddin Yassin






