
KEBEBASAN bersuara dalam masyarakat demokratik penting bagi membolehkan rakyat menegur, mempersoalkan dan menilai perkara yang melibatkan kepentingan awam.
Isu seorang mahasiswa membangkitkan persoalan mengenai rasuah dan integriti ketika sesi dialog bersama beberapa pemimpin negara baru-baru ini mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat.
Ada yang bersetuju dengan hujahnya, manakala sebahagian yang lain berpendapat cara penyampaiannya kurang sesuai.
Namun, perbezaan pendapat tidak seharusnya bertukar menjadi serangan peribadi dan buli siber sehingga menjejaskan ruang perbincangan awam.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor, Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, keberanian orang muda mempersoalkan perkara yang tidak betul perlu terus dipupuk, khususnya berkaitan rasuah.
Rasuah merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat yang boleh merosakkan kepercayaan terhadap institusi negara.
Justeru, persoalan mengenai integriti wajar diberikan perhatian, bukannya diketepikan hanya kerana cara penyampaiannya tidak disenangi sesetengah pihak.
“Keberanian membangkitkan persoalan mengenai rasuah dan integriti tidak seharusnya dipadamkan hanya kerana pandangan atau cara penyampaiannya tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya.
Dalam masyarakat demokratik, kritikan terhadap pemimpin sepatutnya membuka ruang penjelasan dan perbahasan, bukannya mengundang tekanan sosial.
Bagaimanapun, kebebasan bersuara tidak bermaksud setiap kenyataan perlu diterima tanpa penelitian terhadap fakta, bahasa dan asas hujah.
Pihak yang tidak bersetuju juga berhak mengemukakan pandangan balas secara matang dan berhemah.
Media sosial yang membolehkan kenyataan tersebar dengan pantas turut meningkatkan risiko salah faham, kecaman beramai-ramai dan serangan terhadap individu.
Budaya buli siber boleh menyebabkan anak muda memilih untuk berdiam diri kerana bimbang menjadi sasaran kecaman apabila menyuarakan pandangan berbeza.
Keadaan itu boleh mengecilkan ruang pertukaran idea yang penting untuk membina masyarakat berfikiran kritis.
ABIM Selangor turut menyeru pengguna media sosial supaya mengamalkan budaya berhujah secara matang dan beradab.
Kritikan boleh disampaikan melalui perbincangan terbuka atau komunikasi peribadi tanpa menghina dan mengaibkan pihak lain.
Ketegasan berhujah tidak memerlukan penghinaan, manakala adab tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat persoalan yang wajar.
Kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab terhadap fakta serta penghormatan terhadap pandangan berbeza.
Akhirnya, kematangan masyarakat terserlah melalui cara perbezaan pendapat diuruskan tanpa menafikan hak individu untuk bersuara.
Suara anak muda wajar dinilai berdasarkan hujahnya, sementara budaya buli siber perlu dihentikan agar ruang perdebatan awam terus terpelihara.
The post Kritik jangan sampai menghina, aibkan individu appeared first on Kosmo Online.




